BARNES (kiri) menjadi penyelamat buat Leicester apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-83. FOTO Agensi
BARNES (kiri) menjadi penyelamat buat Leicester apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-83. FOTO Agensi
AFP

London: Leicester City melonjak ke tangga kedua Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas Harvey Barnes berjaya menjaringkan gol penyamaan pada lewat permainan untuk mencatat keputusan seri 1-1 berdepan Crystal Palace awal pagi tadi.

Sepakan voli jarak dekat Wilfried Zaha meletakkan Eagels di depan selepas sepakan penalti Kelechi Iheanacho berjaya diselamatkan penjaga gol mereka, Vicente Guaita.

Pengurus Leicester, Brendan Rodgers melakukan tujuh pertukaran selepas 48 jam mencatat keputusan seri 2-2 dengan Manchester United termasuk meletakkan Jamie Vardy dan Youri Tielemans di bangku simpanan.

Kedua-dua pemain berkenaan dimasukkan pada separuh masa kedua dan tekanan Leicester berjaya diredakan dengan gol penyamaan Barnes hasil rembatan rendah dari luar petak penalti.

Rodgers percaya bahawa pemilihan Iheanacho untuk mengambil sepakan penalti adalah tepat walaupun percubaannya berjaya diselamatkan.

Beliau mengesahkan penyerang Super Eagles itu adalah pilihan yang sesuai untuk mengambil sepakan penalti selepas dibuktikan di dalam latihan dan memberi dorongan agar melupakan kekecewaan berkenaan.

"Saya berkata pada masa rehat, supaya melupakan kekecewaan berkenaan. Dia sudah berlatih sebelum ini dan berjaya menyempurnakan lima daripada lima percubaan, dia sangat yakin," kata Rodgers.

Walaupun mencatat keputusan seri, Leicester berjaya melonjak ke tangga kedua EPL selepas mengumpul 29 mata daripada 16 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2020 @ 9:39 AM