SIMONE (kiri) bersama adiknya, Filippo selepas aksi antara Lazio dan Benevento yang berakhir dengan keputusan seri 1-1. FOTO Agensi
SIMONE (kiri) bersama adiknya, Filippo selepas aksi antara Lazio dan Benevento yang berakhir dengan keputusan seri 1-1. FOTO Agensi
AFP

Milan: Lazio meneruskan rentak kurang memberangsangkan dalam saingan Serie A selepas seri 1-1 menentang Benevento awal pagi tadi tatkala pasukan bimbingan adik-beradik Inzaghi berdepan sesama sendiri.

Simone Inzaghi yang berjaya membawa Lazio mara ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara buat kali pertama selepas dua dekad dilihat agak kurang konsisten untuk saingan domestik dan kelab berkenaan berada di tangga kelapan dengan memungut 18 mata selepas 12 perlawanan.

Benevento yang dinaikkan pangkat ke Serie A dipimpin oleh bekas penyerang AC Milan, Juventus dan Itali, Filippo Inzaghi, melonjak ke tangga ke-13 selepas mencatat keputusan seri dengan enam mata di atas zon penyingkiran.

Penyerang Lazio, Ciro Immobile meletakkan pasukan pelawat di depan dengan melepaskan rembatan luar biasa pada minit ke-25, pemenang kasut emas Eropah itu berjaya menyambut baik hantaran lintang Sergej Milinkovic Savic.

Benevento berjaya menyamakan kedudukan pada hujung saingan separuh masa pertama apabila Pasquale Schiattarella melakukan sepakan voli selepas Lazio gagal mengeluarkan sepakan sudut Gianluca Caprari.

Pasukan rumah kurang bernasib baik untuk meraih tiga mata apabila pada minit akhir Riccardo Improta gagal menanduk tepat selepas Pepe Reina menampan rembatan Giuseppe Di Serio.

Reina sekali lagi terpaksa memberikan aksi terbaik untuk menyelamatkan rembatan deras Improta.

Wira tuan rumah, Schiattarella memusnahkan usaha baiknya apabila dilayangkan kad merah selepas melakukan terjahan keras terhadap Joaquin Correa.

Crotone kekal di tangga terbawah liga selepas mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang Udinese.

Mereka mengumpul enam mata bersama Genoa dan Torino, tiga mata di belakang Fiorentina, yang tidak pernah memenangi perlawanan liga sejak hujung Oktober.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2020 @ 11:06 AM