TIGA pengadil berkenaan sudah berlepas kelmarin. FOTO FB FAM
TIGA pengadil berkenaan sudah berlepas kelmarin. FOTO FB FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengadil negara ini terus mendapat kepercayaan daripada pihak luar apabila tiga individu akan menggalas tanggungjawab mengendalikan perlawanan liga utama Dhiraagu Dhivehi (DDPL) sehingga 15 Februari tahun depan.

Tiga pengadil berkenaan,Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah (pengadil FIFA), Muhammad Khairulsyahmi Ahmad Khalidi (pengadil kebangsaan) dan Muhammad Izzul Fikri Kamaruzaman (ahli program akademi AFC) sudah berlepas kelmarin dan akan mengendalikan perlawanan terbabit untuk tempoh dua bulan.

Menerusi kenyataan media, FAM memaklumkan bahawa ketiga-tiga pengadil terbabit sudah menjalani ujian calitan pengesanan Covid-19 dan disahkan negatif sebelum dibenarkan berlepas.

"Mereka juga perlu menjalani tempoh kuarantin 14 hari dan mengikuti standard operasi prosedur (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Undangan daripada Persatuan Bolasepak Maldives adalah sebahagian daripada kerjasama FAM dan negara lain bagi memberi pengalaman antarabangsa kepada pengadil berikutan kekurangan perlawanan akibat pembatalan Liga Super, Premier dan Piala Malaysia," katanya.

Sebelum ini, FAM turut menghantar pengadil ke beberapa negara lain seperti Vietnam, Jepun, Bangladesh dan Timor Leste sepanjang tempoh 2019.

"Unit Pengadil FAM akan memantau perkembangan dan prestasi ketiga-tiga pengadil berkenaan bagi memastikan kualiti mereka berada pada tahap optimum," katanya.

Pengadil Malaysia terus mendapat perhatian antarabangsa apabila tiga lagi pengadil terpilih mengendalikan aksi membabitkan saingan Liga Juara-Juara Asia bagi Zon Timur yang sedang berlangsung di Doha, Qatar sejak 19 November lalu.

Terdahulu, tiga pengadil yang mendapat kepercayaan itu ialah dua pengadil FIFA, Amirul Izwan Yaacob dan Muhammad Nazmi Nasaruddin serta penolong pengadil FIFA, Mohd Yusri Muhamad.

Amirul, 34, bertindak sebagai pengadil bagi perlawanan Kumpulan E, Melbourne Victory menentang Beijing Guon pada 27 November lalu serta sebagai pegawai keempat bagi tiga lagi perlawanan lain.

Nazmi, 30, pula menjadi pengadil pada perlawanan Kumpulan F membabitkan aksi antara Ulsan Hyundai berdepan Perth Glory pada 24 November serta sebagai pegawai keempat pada dua lagi perlawanan iaitu Melbourne Victory dengan Beijing Guon 27 November dan Yokohama F. Marinos menetang Jeonbuk Hyundai Motor pada 1 Disember lalu.

Sementara Yusri, 41, menjadi Penolong pengadil pada empat perlawanan iaitu Beijing Guon dengan FC Seoul pada 21 November, Ulsan Hyundai lawan Perth Glory pada 24 November, Melbourne Victory bertemu Beijing Guon pada 27 November dan Yokohama Marinos lawan Suwon Samsung Bluewings pada 1 Disember lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2020 @ 6:27 PM