GAMBAR Maradona dipamerkan di Kedutaan Argentina di La Paz. FOTO AFP
GAMBAR Maradona dipamerkan di Kedutaan Argentina di La Paz. FOTO AFP
AFP

Buenos Aires: Pihak pendakwa raya Argentina memulakan siasatan sebarang kemungkinan berhubung kematian Diego Maradona dan sama ada ia disebabkan kecuaian rawatan perubatan, kata sumber.

"Sudah ada perkara yang mencurigakan," kata ahli keluarga terdekat kepada AFP.

Peguam Maradona, Matias Morla terdahulu meminta siasatan dilakukan terhadap dakwaannya bahawa ambulans mengambil masa lebih setengah jam untuk tiba ke rumah bintang bola sepak itu selepas menerima panggilan kecemasan pada hari kematiannya.

Laporan autopsi awal mendapati Maradona meninggal dunia ketika dalam tidur pada tengahari Rabu lalu kerana kegagalan paru-paru dan jantung.

Pejabat pendakwa raya di Buenos Aires sudah membuka kertas siasatan bertajuk 'Maradona, Diego. Penentuan punca kematian'.

"Siasatan dimulakan kerana Maradona meninggal dunia di rumah dan tiada sesiapa yang dapat melihat tanda-tanda kematiannya.

"Ia bukan bermaksud terdapat kecurigaan atau perkara yang tidak betul," kata sumber kehakiman yang enggan mendedahkan namanya.

Legenda Argentina berusia 60 tahun itu menerima rawatan rapi di rumahnya di Tigre di Utara Buenos Aires di mana dia menjalani pembedahan untuk membuang darah beku di otaknya awal bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2020 @ 8:19 AM