RIBUAN penyokong berkumpul untuk memberi penghormatan terakhir kepada Maradona. FOTO AFP
RIBUAN penyokong berkumpul untuk memberi penghormatan terakhir kepada Maradona. FOTO AFP
AFP

London: Legenda Brazil, Pele mengetuai bintang global memberikan penghormatan terakhir buat lagenda bola sepak dunia Diego Maradona, yang meninggal dunia malam tadi dengan berkata satu hari nanti mereka akan "bermain bola sepak bersama di atas sana."

Maradona cukup terkenal kerana kejayaannya membantu Argentina menjulang Piala Dunia 1986, dia antara bintang paling disayangi di peringkat kelab bersama Boca Juniors di negara kelahirannya dan Napoli di Itali, tempat dia memenangi dua gelaran Serie A.

Maradona dikenali dengan kemahiran hebat bersama bola, namun dia juga terkenal dengan kerenah di dalam dan luar padang.

Dia bergelut dengan ketagihan, terutama kokain dan masalah berat badan, berbeza dengan imej juara tiga Piala Dunia, Pele.

"Berita sedih hari ini. Saya kehilangan rakan baik, dan dunia kehilangan legenda," kata Pele di Instagram, bersama gambar Maradona merangkul trofi Piala Dunia 1986.

"Banyak yang mahu diperkatakan, tapi buat masa ini semoga Tuhan memberikan keluarganya kekuatan. Satu hari nanti, saya harap akan dapat bermain bola sepak bersama di atas sana."

"Ia hari yang sangat menyedihkan buat semua rakyat Argentina dan bola sepak," kata Lionel Messi di media sosial bersama gambarnya dan Maradona. "Dia meninggalkan kita tetapi dia tidak pergi kerana dia adalah abadi."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2020 @ 8:16 AM