Penyerang AC Milan, Zlatan Ibrahimovic (atas kanan) menanduk gol mengatasi penjaga gol Napoli, Alex Meret (kiri) pada aksi Serie A. FOTO AFP
Penyerang AC Milan, Zlatan Ibrahimovic (atas kanan) menanduk gol mengatasi penjaga gol Napoli, Alex Meret (kiri) pada aksi Serie A. FOTO AFP
AFP

Milan: Zlatan Ibrahimovic meledak dua gol untuk menjadikan jaringan ke-10 liga buatnya pada musim ini sebelum mengadu kesakitan kerana kecederaan otot ketika AC Milan kekal di puncak liga Serie A dengan kemenangan 3-1 ke atas Napoli, pagi ini.

Milan melonjak dua mata di depan Sassuolo yang terdahulu mencatat kemenangan 2-0 di Hellas Verona dengan Roma di tempat ketiga selepas Henrikh Mkhitaryan meledak dua gol untuk mengesahkan kemenangan selesa 3-0 ke atas Parma.

Ibrahimovic meneruskan aksi terbaiknya, menanduk masuk gol hantaran Theo Hernandez selepas 20 minit permainan dan menjaringkan gol kedua menerusi rembatan enam minit selepas rehat separuh masa permainan.

Tetapi pemain berusia 39 tahun itu terpaksa menahan kesakitan kerana mengalami hamstring pada kaki kiri dan terpaksa digantikan selepas 79 minit permainan.

Pemain Sweden itu sudah menjaringkan gol dalam enam perlawanan yang membabitkan aksinya musim ini dan hanya terlepas dua perlawanan kerana kontak Covid-19.

Jurulatih, Stefano Pioli terlepas kunjungan ke selatan dengan Covid-19, tetapi skuad kendaliannya mencatat kemenangan pertama liga di Naples sejak Oktober 2010, musim terakhir mereka memenangi kejuaraan Scudetto, dengan Ibrahimovic turut berada dalam senarai penjaring waktu itu.

Napoli beraksi 30 minit sebelum tamat perlawanan tanpa Tiemoue Bakayoko yang diperintah keluar padang selepas menerima dua kad merah, beberapa minit selepas Dries Mertens menjaringkan gol untuk kebangkitan tuan rumah.

Pemain Norway, Jens Petter Hauge melengkapkan jaringan ketiga Milan pada minit kecederaan dengan pemain berusia 21 tahun itu meledak gol pertama di Serie A.

Juara bertahan Juventus di tangga keempat - empat mata mengatasi pasukan di kedudukan teratas - selepas mencatat kemenangan 2-0 di Cagliari, semalam.

Naib juara musim lalu, Inter Milan mengekori rapat di tempat kelima, selepas dua gol Romelu Lukaku mencetus inspirasi kebangkitan untuk mencatat kemenangan 4-2 ke atas Torino, dengan Napoli jatuh ke tangga keenam - enam mata ketinggalan daripada pasukan teratas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2020 @ 9:02 AM