JOTA meraikan jaringannya untuk membantu Liverpool melakarkan kemenangan ke atas West Ham. FOTO AFP
JOTA meraikan jaringannya untuk membantu Liverpool melakarkan kemenangan ke atas West Ham. FOTO AFP
AFP

London: Diogo Jota membantu kebangkitan penuh dramatik Liverpool bagi memastikan juara Liga Perdana Inggeris itu menewaskan West Ham 2-1 untuk melonjak ke carta teratas liga dengan kelebihan tiga mata manakala Manchester City dan Chelsea turut melakar kemenangan untuk merapatkan jurang kedudukan pendahulu.

Barisan Jurgen Klopp bagaimanapun dikejutkan dengan jaringan Pablo Fornals di Anfield selepas pemain tengah West Ham itu memanfaatkan tandukan lemah dari Joe Gomez minit ke-10.

The Reds bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan minit ke-42 apabila Mohamed Salah dikasari Arthur Masuaku dan penyerang Mesir itu berjaya menyempurnakan sepakan penalti untuk gol kelapan musim ini.

Jota yang jaringannya ketika permainan berbaki 10 minit dibatalkan pengadil, memastikan kemenangan Liverpool lima minit kemudian selepas mendapat hantaran Xherdan Shaqiri.

Ia adalah gol keempat Jota sejak menyertai Liverpool dari Wolverhampton Wanderers pada September.

Ia adalah kemenangan keempat bagi Liverpool sejak pertahanan Virgil van Dijk terpaksa diketepikan untuk tempoh beberapa bulan kerana kecederan lutut serius yang dialaminya ketika menentang Everton.

Liverpool kini mendahului Everton - yang akan beraksi menentang Newcastle malam ini - dengan kelebihan tiga mata.

"Ia bukan tentang menyinar, terbang atau apa saja, ia tentang kerja keras. Itu apa yang diperlukan untuk lawan seperti ini.

"Kami bermain baik, tidak ada 500 peluang atau apa saja tetapi ia mencukupi. Saya mahu melihat kami berusaha dan kami melakukannya, saya amat gembira," kata Klopp.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2020 @ 8:53 AM