Diego Armando Maradona. FOTO File Agensi
Diego Armando Maradona. FOTO File Agensi
AFP

Buenos Aires: Legenda Bola Sepak Argentina, Diego Maradona yang berusia 60 tahun pada Jumaat ini, menjalani pengasingan diri selepas pengawal peribadinya menunjukkan simptom Covid-19 menurut laporan media tempatan di negara itu.

Pengawal peribadi "tampil dengan simptom Covid-19 dan menjalani kuarantin sepatutnya sehingga keputusan ujian diperolehi," kata akhbar sukan, Ole.

"Hanya sebagai langkah berjaga-jaga dan sehingga memperoleh maklumat lanjut, Maradona akan menjalani kuarantin di rumah," menurut laman sesawang Pagina/12 yang memetik 'sumber rapat' legenda bola sepak dunia itu.

Maradona yang memacu Argentina menjulang Piala Dunia pada 1986, ketika ini menjadi jurulatih kelab Division Satu Argentina, Gimnasia y Esgrima La Plata yang dijadualkan beraksi berdepan Patronato pada Jumaat.

Pagina/12 berkata, Maradona akan menjalani ujian calitan esok untuk melihat sama ada dia mempunyai virus berkenaan atau tidak.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 1:03 PM