SELANGOR sedang memantau import baru dari Jerman, Australia, England, Jepun dan Korea Selatan dan Utara. FOTO FATHIL ASRI
SELANGOR sedang memantau import baru dari Jerman, Australia, England, Jepun dan Korea Selatan dan Utara. FOTO FATHIL ASRI
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pasukan Selangor jelas mahu mencipta lebih banyak kejayaan pada musim depan dengan giat melakukan 'risikan' dan pemantauan terhadap beberapa pemain import baharu bagi menguatkan lagi kesebelasan utama nanti.

Antara pemain import yang menjadi kini dalam radar skuad Gergasi Merah adalah daripada Jerman, Australia, England, Jepun dan Korea Selatan dan Utara.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, pihaknya mahu melakukan rombakan terhadap pemain import dengan rata-rata yang ada akan tamat kontrak pada hujung tahun ini.

Beliau berkata, pengambilan pemain import baharu itu sekali gus akan memberi persaingan pada pemain sedia ada supaya lebih berdaya saing dan menunjukkan kemampuan diri untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama.

"Sememangnya kita sedang merisik beberapa pemain import daripada negara terbabit dengan yang pasti mahukan berkualiti seterusnya mampu memberi impak pada pasukan pada musim depan.

"Setakat ini, kita sudah ada beberapa nama yang akan dipertimbangkan untuk diambil namun keputusan akhir belum dibuat lagi.

"Kehadiran pemain import terbabit mampu memberi saingan kepada pemain lain untuk mempertingkatkan lagi persembahan masing-masing untuk dipilih dalam kesebelasan utama," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum itu, Juara Piala Malaysia sebanyak 33 kali, Selangor tampak sedang membuat perancangan rapi bagi menghadapi kejohanan itu musim ini.

Ia selepas sekurang-kurangnya lima pemain Selangor termasuk yang berstatus senior dilaporkan akan dilepaskan skuad Red Giants dalam misi pemburuan kejuaraan ke-34 mereka itu.

Antara yang didakwa berada dalam senarai itu adalah pertahanan berdarah campuran, Nick Swirad; penjaga gol, Farizal Harun dan Khyril Muhymeen Zambri.

Malah, FAS juga mengesahkan akan merekrut lima pemain muda dari pasukan Selangor 2 untuk memperkuat pasukan utama bersaing dalam Piala Malaysia yang dijadual bermula bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2020 @ 11:57 PM