KIAN Meng (kanan) harap aksi terbaik bersama Pei Jing di Masters Indonesia. FOTO AFP
KIAN Meng (kanan) harap aksi terbaik bersama Pei Jing di Masters Indonesia. FOTO AFP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pasangan beregu campuran negara, Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing tetap fokus dan sedia melakukan kejutan dalam saingan Masters Indonesia di Jakarta bermula hari ini.

Jelas Kian Meng, dia dan pasangannya tetap serius di pertandingan itu walaupun selepas berakhirnya saingan berkenaan satu lagi tugasan lebih mencabar bakal menanti apabila dijadual beraksi di Terbuka Indonesia, dari 14-19 Jun ini.

"Macam biasa saya cakap sebelum ini, kami tidak mahu fikir banyak sangat. Apa yang penting, saya harap kami boleh lakukan yang terbaik kerana kami anggap setiap kejohanan adalah sama.

"Bagi saingan musim ini, saya fikir dalam kebanyakan kejohanan, saya dan Pei Jing mara sekurang-kurangnya hingga ke suku akhir. Tidak keterlaluan untuk katakan kami bermain cukup konsisten," katanya.

Berdasarkan jadual perlawanan, Kian Meng-Pei Jing tidak beraksi hari ini kerana terus beraksi dalam undian utama dan akan mula turun ke gelanggang esok untuk berdepan pemenang di pusingan kelayakan iaitu Hiroki Midorikawa dan Natsu Saito dari Jepun.

Sementara itu, beregu campuran negara, Choong Hon Jian-Peck Yen Wei berjaya melepasi pusingan kelayakan selepas menumpaskan gandingan Perancis, William Villeger-Anne Tran 22-20, 21-18.

Di pusingan pertama nanti mereka akan berdepan wakil Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje.

Nasib berbeza buat beregu lelaki Arif Junaidi-Haikal Nazri apabila mereka gagal melepasi pusingan kelayakan selepas kalah 15-21, 16-21 ketika berdepan pasangan China, Liang Wei Keng-Wang Chang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Jun 2022 @ 8:33 PM