PEMAIN perseorangan utama negara, Lee Zii Jia akan berdepan wakil Jerman, Kai Schaefer di pusingan kedua, esok. FOTO Badminton Photo
PEMAIN perseorangan utama negara, Lee Zii Jia akan berdepan wakil Jerman, Kai Schaefer di pusingan kedua, esok. FOTO Badminton Photo
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Dua pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia dan Liew Darren menempah slot ke pusingan kedua apabila menundukkan lawan masing-masing di Terbuka Thailand, hari ini.

Malah, pada perlawanan di Impact Arena, Bangkok itu, Darren berjaya membalas dendam untuk negara apabila menumpaskan individu yang menjadi 'punca' Malaysia tewas pada separuh akhir Piala Thomas lalu iaitu H S Prannoy.

Walaupun terpaksa mengheret perlawanan sehingga ke set penentuan, Darren menggunakan pengalaman dimiliki untuk menumpaskan Prannoy, 21-17,15-21 dan 21-15.

Sementara itu, Zii Jia dilihat tidak berhadapan masalah apabila mudah menumpaskan pemain Azerbaijan, Ade Rezky Dwicahyo 21-19, 21-9.

Beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Woi Yik berada pada landasan tepat untuk menamatkan kemarau gelaran apabila menempah slot pusingan kedua selepas menundukkan pasangan tuan rumah, Weeraphat Phakjarung-Wongsathorn Thongkham menerusi perlawanan tiga set, 13-21,21 12 dan 21-9.

Turut melangkah ke pusingan seterusnya adalah beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai selepas menumpaskan pasangan Amerika Syarikat, Vinson Chiu-Jennie Gai 21-13,21-12.

Namun, perjuangan pemain perseorangan wanita negara S Kisona tersekat di pusingan pertama selepas tewas kepada wakil Indonesia, Russelli Hartawan 14-21,21-18 dan 21-19.

Nasib turut tidak menyebelahi perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong; beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan beregu lelaki, Nur Mohd Azriyn Ayub- Lim Khim Wah selepas mereka tewas kepada lawan masing-masing pada pertembungan di pusingan pertama.

Di pusingan kedua esok, Zii Jia akan bertemu wakil Jerman Kai Schaefer manakala Darren berentap dengan perseorangan Jepun, Koki Watanabe.

Soon Huat- Shevon bertemu pasangan dari India Ishaan Bhatnagar-Tanisha Crasto selepas mereka mendapat 'bye' pada pusingan pertama.

Manakala Aaron-Woi Yik akan membuat perhitungan dengan beregu Taiwan Lee Jhe-Huei Yang Po Hsuan selepas mereka menundukkan wakil India, M R Arjun-Dhruv Kapila 21-12, 19-21, 21-19.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 11:02 PM