PASUKAN India meraikan kejayaan memenangi Piala Thomas. FOTO EPA
PASUKAN India meraikan kejayaan memenangi Piala Thomas. FOTO EPA
Affan Rostam


Kuala Lumpur: "Kemenangan India bukan suatu kebetulan," demikian pandangan bekas pemain perseorangan badminton negara, Roslin Hashim selepas negara itu bergelar juara Piala Thomas 2022 yang berlangsung di Impact Arena Bangkok, Thailand, Ahad lalu.

Beliau sudah mula melihat perkembangan positif India dalam beberapa tahun kebelakangan ini selain menyifatkan negara itu mempunyai barisan pemain yang baik ketika ini.

Ini kerana pemain negara itu berjaya memenangi beberapa siri kejohanan yang diadakan sebelum ini termasuk Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia.

"Sebenarnya kalau tengok dalam lima ke enam tahun lepas, pemain India ini dah mula meningkat naik dan kebanyakannya dari pemain perseorangan mereka.

"Sebagai contoh Kidambi Srikanth, Prannoy HS dan Lakshya Sen yang berada pada ranking dunia yang baik (20 teratas) dengan usia mereka yang masih muda ketika ini," katanya ketika dihubungi.

Tambahnya lagi, mereka bukan sahaja dibarisi pemain dengan ranking yang baik, malah kualiti yang dimiliki pasukan itu sangat mengagumkan.

Pasukan negara perlu mengambil contoh daripada kebangkitan serta pembaharuan yang dilakukan India terhadap barisan pemain badminton mereka pada ketika ini.

"Ini satu bentuk pengajaran buat kita. Pasukan negara perlu lihat dan belajar daripada mereka bagaimana untuk mempersiapkan pasukan yang seimbang dalam pelbagai aspek.

"Kita boleh nilai ketika perlawanan bagaimana kesungguhan dan latihan yang mereka lakukan dalam menghadapi kejohanan ini," katanya lagi.

Roslin yang juga bekas pemain nombor satu dunia menegaskan, pihak pengurusan badminton negara perlu memberi penekanan serius terhadap pemilihan pemain sebelum dibawa menyertai kejohanan besar seperti Piala Thomas.

Ujarnya lagi, pembaharuan serta penambahbaikan dalam kem badminton negara perlu dilakukan dalam tempoh terdekat jika tidak mahu kisah duka itu kembali menghantui negara.

Terdahulu, India berjaya menundukkan Indonesia 3-0 dalam perlawanan akhir Piala Thomas 2022 sekali gus mencipta sejarah baharu dalam dunia badminton apabila berjaya merangkul kejuaraan buat julung kalinya dalam kejohanan berprestij itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 5:35 PM