Lee Zii Jia
Lee Zii Jia
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mengakui dia tidak pernah terfikir untuk tukar kerakyatan atau mewakili negara lain dan tetap akan berjuang demi Malaysia.

Menurutnya, memang ia satu senario yang teruk buatnya jika tidak bermain dalam mana-mana kejohanan (jika keputusan Persatuan Badminton Malaysia kekal) dalam tempoh dua tahun.

"Saya pun tidak ada meminta apa-apa dalam apa jua keadaan sebelum mesyuarat ahli majlis. Dalam mesyuarat berkenaan memang BAM mencuba sedaya upaya untuk meyakinkan saya kekal di BAM," katanya dalam satu temubual di salah sebuah televisyen swasta sebentar tadi.

Ujar juara Seluruh England 2021 itu, memang BAM ada memberikannya pelbagai tawaran namun dia sangat sedih dan berat hati kerana badan induk berkenaan mahu dia kekal.

"Mereka mahu saya kekal, kalau boleh saya pun tidak mahu tinggalkan 'rumah ini'. Ia bukan satu keputusan yang senang, saya mahu sesuatu yang berbeza.

"Kemungkinan saya boleh kekal di dalam tapi dengan pasukan dan penaja sendiri. Ini bukan ugutan hanya pandangan. Sama ada ahli majlis bersetuju atau tidak ia terpulang kepada BAM.

"Saya tidak akan campur, namun saya tetap dengan pendirian saya. Memang saya hendak tinggalkan BAM. Antara kedua-dua pihak ada salah faham mengenai perkara ini, saya baru mahu perjelaskan dengan betul. Saya tidak mengugut hanya pandangan," katanya.

Tambah Zii Jia, idea untuk menjadi pemain profesional bermula sejak Januari 2021 ketika dia beraksi sangat teruk dalam beberapa kejohanan.

"Ada terfikir juga itu adalah penamat karier saya. Ramai jurulatih memberitahu bahawa ini adalah proses dan saya harus mempercayainya," kata pemain kelahiran Kedah itu.

Zii Jia juga mengakui menyerahkan surat untuk bergerak profesional adalah satu detik yang sangat besar dalam kariernya dan keputusan itu bukan senang untuk dibuat.

"Saya sangat berterima kasih kepada Tan Sri Mohamad Norza (Zakaria) dan BAM di atas restu ini untuk saya beraksi buat negara. Cuma dalam surat berkenaan saya hanya tulis saya tidak tahan dengan tekanan dalam persekitaran seperti itu. Ia adalah sebab utama saya kenapa mahu meninggalkan BAM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 January 2022 @ 6:07 PM