BAM mengesahkan sudah menerima surat rayuan daripada Zii Jia hari ini. FOTO Bernama
BAM mengesahkan sudah menerima surat rayuan daripada Zii Jia hari ini. FOTO Bernama
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan sudah menerima surat rayuan daripada jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia berhubung tindakan badan induk itu yang tidak mendaftarkannya menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun.

BAM dalam satu kenyataan berkata, badan induk itu menyatakan akan meneliti rayuan Zii Jia untuk mencari jalan penyelesaian terbaik.

"Sebagai sebuah institusi negara yang bertanggungjawab, kami mempunyai prosedur yang mesti dipatuhi. Tindakan Majlis BAM adalah berdasarkan prosedur rasmi dengan maklumat yang disampaikan kepada mereka. Bagaimanapun, adalah amat penting untuk menyatakan bahawa rayuan boleh dikemukakan.

"Dalam sejarah institusi ini, semua pemain mempunyai hak untuk merayu keputusan yang dibuat oleh Majlis dan BAM mengambil kira rayuan ini untuk bertindak dengan sewajarnya.

"Justeru, BAM mengesahkan bahawa kami sudah menerima surat rayuan daripada Lee Zii Jia hari ini. Sebagai menjaga kepentingan badminton negara, kami sedang meneliti perkara itu untuk mencari penyelesaian secara baik," katanya.

BAM juga menjelaskan pihaknya sedar kemarahan dan kekecewaan ramai terhadap keputusan badan induk itu terhadap Zii Jia.

"Kami memahami kekecewaan terhadap persatuan. Situasi ketika ini amat mencabar dan mendapat perhatian semua pihak daripada ahli politik sehinggalah pemain antarabangsa.

"Kami menghargai semua komen, kritikan dan maklum balas yang ditujukan kepada kami. Kami akan mengambil maklum segala luahan rakyat Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 6:36 PM