AZIZULHASNI mahu BAM dan Zii Jia duduk semeja.
AZIZULHASNI mahu BAM dan Zii Jia duduk semeja.
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang menganggap hukuman 'penggantungan' dua tahun dikenakan terhadap pemain badminton nombor tujuh dunia Lee Zii Jia sebagai tidak relevan.

Baginya, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) harus duduk semeja dengan pemain terbabit berbincang seperti ayah dan anak untuk menyelesaikan isu itu.

"Hukuman dari BAM bagi saya tidak relevan dan kedua-dua pihak seharusnya duduk semeja berbincang seperti ayah dan anak untuk mencari titik tengah dalam isu ini," tulisnya dalam perkongsian terbaharu di media sosial.

"Kalau ditanya saya, sudah tentu untuk pergi jauh dalam karier sukan adalah bagus untuk seseorang atlet itu bergerak secara profesional tetapi dalam masa yang sama tidak melupakan tanggungjawab kepada pasukan kebangsaan."

Azizul mendedahkan dia sendiri pernah mewakili pasukan profesional untuk sesetengah perlumbaan termasuk Bike Technologies Australia (2007-2009), Sime Darby Pro-Track Team (2009-2016), CIMB Pro-Cycling Team (2017-2018) dan Team Azizul (2019-hingga kini).

Bagaimanapun, pelumba berusia 34 tahun itu kecewa apabila media mengaitkan perkongsiannya dua hari lalu dengan isu Zii Jia dan Goh Jin Wei, yang dikenakan hukuman tidak akan didaftarkan oleh BAM bagi mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun susulan keputusan mereka meninggalkan badan induk itu untuk bergerak secara profesional.

"Penulisan perkongsian tempoh hari tentang pengalaman dan cerita diri saya seperti mana saya selalu kongsikan kepada follower saya sebelum ini dan tiada kaitan dengan orang lain pun.

"Mereka yang mengikuti penulisan saya akan tahu saya sentiasa menyampaikan cerita bermotivasi, semangat kenegaraan (patriotism), humor dan juga suka duka perjalanan karier saya.

"Dah terang lagi bersuluh hashtag saya tinggalkan di bawah coretan itu #sembangpengalaman dan saya pun tidak ada menyebut nama mana-mana pihak. Kenapa ada yang pandai-pandai spin kata saya tuju dekat individu lain sedangkan tak ada menelefon saya untuk merujuk hal berkenaan?," tulisnya.

"Kepada mereka di luar sana, saya harap anda tidak mengambil perkongsian saya itu di luar konteks. Penting untuk kita mendisiplinkan emosi supaya tidak terjerumus ke arah cognitive bias."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 12:34 PM