Pemain perseorangan profesional negara, Soong Joo Ven. FOTO File NSTP
Pemain perseorangan profesional negara, Soong Joo Ven. FOTO File NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan profesional negara, Soong Joo Ven bukan risau mengenai kehebatan lawannya di pusingan kedua, sebaliknya tahap kesihatan wakil tuan rumah itu yang disahkan positif Covid-19 di Terbuka India minggu lalu.

Menurut pemain Kelab Raket Kuala Lumpur (KLRC) itu, dia agak risau jika berdepan Mithun Manjunath di pusingan kedua tatkala pemain berkenaan tersenarai untuk beraksi di saingan Antarabangsa India minggu ini.

"Minggu ini dia boleh bermain, saya tak pasti kenapa boleh jadi seperti ini, sedangkan tidak sampai seminggu dan saya agak risau jika berdepan dengannya di pusingan kedua," kata Joo Ven.

Bagaimanapun, Joo Ven mahu memberi fokus sepenuhnya kepada lawannya di pusingan pertama terlebih dulu, S Sankar Muthusamy di pusingan pertama esok.

"Saya rasa buat masa sekarang saya tidak mahu banyak berfikir mengenai laluan undian saya, biarlah satu demi satu perlawanan terlebih dulu. Apa yang boleh saya katakan undian ini sangat okay buat saya.

"Memang saya kurang berpuas hati dengan aksi di Terbuka India minggu lalu. Banyak saya lakukan kesilapan. Saya tidak berjaya menunjukkan permainan sebenar saya. Jadi saya harap kejohanan kali ini mampu melakukan yang lebih.

"Kelemahan yang perlu saya perbaiki sekarang ini adalah dari segi mempamerkan aksi konsisten. Begitu juga dengan tahap fizikal yang harus dipertingkatkan," kata pemain kelahiran Kuala Lumpur itu.

Joo Ven terkandas di pusingan kedua minggu lalu apabila tumpas di tangan pemain Singapura yang juga juara dunia, Loh Kean Yew, 12-21, 12-21.

Turut beraksi di saingan Antarabangsa India ialah Ng Tze Yong yang akan berdepan wakil Thailand, Adulrach Namkul di pusingan pertama esok, manakala seorang lagi pemain profesional, Cheam June Wei turun ke gelanggang hari ini berdepan Xiaodong Sheng dari Kanada.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 5:01 PM