NG Tze Yong. FOTO Badminton Photo
NG Tze Yong. FOTO Badminton Photo
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Pemain muda badminton negara, Ng Tze Yong menerima terlalu banyak mesej di laman sosial menjelang Tahun Baru 2022 semalam sehingga dia tidak dapat menjawab semua persoalan yang dilemparkan kepadanya.

Kebanyakan peminat dan warganet bertanyakan mengenai sasarannya tahun ini selepas mempamerkan persembahan mengagumkan sepanjang 2021 apabila menjuarai tiga kejohanan bertaraf Cabaran Antarabangsa Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dan sekali muncul naib juara.

"Maaf guys, saya betul-betul tidak dapat membalas semua mesej anda. Saya akan menjawab sesetengah soalan itu di sini," tulisnya dalam Insta Story terbaharu.

"Sasaran saya pada 2022 adalah untuk berada di ranking 30 terbaik dunia dan saya akan cuba yang terbaik untuk memenangi satu kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF. Saya harap anda semua akan terus menyokong perjalanan karier saya."

Tze Yong, 21, kini melonjak ke tangga ke-60 dunia selepas memenangi tiga kejohanan - Terbuka Poland (Mac), Antarabangsa Belgium (Oktober) dan Terbuka Scotland (November) - selain muncul naib juara Terbuka Republik Czech (Oktober).

Dia juga beraksi buat skuad negara pada Piala Sudirman di Vantaa, Finland (September) dan Pusingan Akhir Piala Thomas-Uber di Aarhus, Denmark (Oktober).

Pada Piala Sudirman, Tze Yong menyumbang satu mata ketika Malaysia membelasah Mesir 5-0 pada peringkat kumpulan namun persembahannya pada Piala Thomas lebih mencuri tumpuan apabila dia memberikan saingan sengit kepada jaguh Indonesia, Jonatan Christie pada suku akhir sebelum tumbang dalam tiga set selepas bertarung selama satu jam 15 minit.

Persembahannya itu lekat di hati peminat dan warganet hingga menyebabkan bekas jaguh dunia Datuk Lee Chong Wei mengesahkan pemain berasal dari Johor itu bakal menjadi penggantinya suatu hari nanti.

Mengenai teman wanitanya pemain badminton sedang meningkat Kanada, Talia Ng, Tze Yong berkata, mereka sudah kenal sejak empat tahun lalu ketika bertanding pada kejohanan peringkat remaja.

"Saya dan teman wanita saya kenal antara satu sama lain pada Kejohanan Remaja Dunia pada 2018 (di Markham, Kanada). Kami akan cuba yang terbaik untuk mengekalkan hubungan ini selama mungkin," katanya menjawab persoalan peminat.

Sekalipun mengenali Talia sejak 2018, hanya pada Oktober lalu Tze Yong mengesahkan dalam laman sosial mengenai gadis berusia 19 tahun itu yang dianggap istimewa dalam hidupnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 January 2022 @ 1:50 PM