Reaksi Goh Liu Ying ketika beraksi di Jelajah Dunia Akhir BWF di Indonesia. FOTO Ihsan Badminton Photo
Reaksi Goh Liu Ying ketika beraksi di Jelajah Dunia Akhir BWF di Indonesia. FOTO Ihsan Badminton Photo
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pemain beregu campuran profesional, Goh Liu Ying masih lagi belum pasti dengan apa yang bakal dilakukannya selepas 'berpisah' dengan rakan segandingan, Chan Peng Soon.

Menurut Liu Ying dia sekarang ini berada dalam situasi 'belum pasti' sama ada mahu menggantung raket ataupun meneruskan karier sebagai pemain badminton.

Liu Ying, 32, berkata, dia masih belum ada jawapan mengenai perkara itu selain memerlukan ruang masa bagi menentukan masa depannya.

"Ramai yang tanya jika Liu Ying sudah gantung raket. Sebenarnya saya pun tertanya-tanya soalan yang sama dalam hati.

"Malangnya belum ada jawapannya. Berilah Liu Ying sedikit masa. Terima kasih kepada semua atas sokongan anda selama ini," kata Liu Ying dalam hantarannya di Facebook.

Minggu ini, Liu Ying dan Peng Soon mengumumkan perpisahan antara mereka selepas 13 tahun bergandingan dengan aksi terakhir mereka adalah di Jelajah Dunia Akhir BWF 2021 di Bali, Indonesia.

Pada kejohanan itu, gandingan yang meraih pingat perak di Sukan Olimpik Rio 2016 itu tewas di tangan pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai 8-21, 18-21 pada separuh akhir.

Selain Rio 2016, Peng Soon-Liu Ying juga pernah meraih 12 gelaran sepanjang mereka bersama antaranya pingat emas di Sukan Komanwel India 2010 dan berada di ranking ketiga terbaik dunia pada 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Disember 2021 @ 11:45 AM