AKSI Peng Soon dan  Liu Ying ketika menentang beregu Thailand di Bali.
AKSI Peng Soon dan Liu Ying ketika menentang beregu Thailand di Bali.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Hanya berbaki enam hari lagi sebelum bermula Kejohanan Dunia di Huelva, Sepanyol, namun beregu campuran profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying sudah mengangkat 'bendera putih' apabila terpaksa menarik diri daripada menyertai pertandingan terbabit.

Liu Ying, 32, berkata, keputusan itu bukanlah disebabkan masalah tertentu namun lebih kepada faktor kecergasan membuatkan mereka mengambil keputusan sukar berkenaan selepas beraksi dalam enam kejohanan sejak Oktober lalu.

"Mungkin disebabkan faktor usia (yang semakin meningkat), tubuh badan saya mengambil masa untuk pulih sekali gus menyukarkan kami berdua berada pada tahap prestasi terbaik. Satu lagi kejohanan akan menambah bebanan ke atas tubuh badan kami.

"Ia sekali gus tidak membolehkan kami untuk mencapai matlamat kami tetapkan. Selain itu, faktor pandemik (Covid-19) juga menghadirkan kebimbangan kepada kami. "Selepas mempertimbangkan semua perkara, kami buat keputusan untuk menarik diri. Saya sedar Kejohanan Dunia sangat bermakna buat semua atlet.

"Saya mohon maaf kerana tidak dapat membawa cabaran Malaysia kali ini. Saya memang sudah tidak boleh tahan, terima kasih kepada semua termasuklah penaja kami. Tanpa anda kami tidak dapat menyertai kejohanan," kata Liu Ying menerusi hantaran di Facebook miliknya, hari ini.

Di Huelva, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu mendapat bye di pusingan pertama.

Keputusan Peng Soon-Liu Ying itu menyaksikan saingan Jelajah Dunia Akhir BWF di Bali, Indonesia menjadi kejohanan terakhir mereka tahun ini apabila pasangan itu mara sehingga ke separuh akhir sebelum tewas di tangan Dechapol Puavanukroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand, Sabtu lalu.

Sebelum itu, pasangan ranking nombor sembilan dunia berkenaan sudah beraksi dalam lima kejohanan bermula Terbuka Denmark, Terbuka Perancis, Terbuka Hylo, Masters Indonesia dan Terbuka Indonesia sejak Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 2:58 PM