REXY (kanan) bertugas pada hari pertama. FOTO BAM
REXY (kanan) bertugas pada hari pertama. FOTO BAM
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Kem badminton negara hari ini lengkap dengan kehadiran legenda badminton Indonesia, Rexy Mainaky yang kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebagai timbalan pengarah kejurulatihan.

Kehadirannya cukup dialu-alukan untuk kembali memartabatkan arena badminton negara khasnya dalam membimbing beregu lelaki.

Rexy, 54, mengakui misinya yang belum selesai iaitu membantu pemain negara muncul juara dunia dan Olimpik ketika pertama kali beraksi sebagai jurulatih pada 2005 hingga 2012 membawanya kembali ke negara ini.

Antara yang menjadi keutamaannya ketika ini adalah membimbing pasangan beregu nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam misi Olimpik 2024.

Katanya, temasya Olimpik 2024 akan menjadi medan buat beregu muda negara itu membuktikan kemampuan sebenar mereka dengan Rexy berjanji untuk mencari formula bagi membantu pasangan yang berada di ranking nombor tujuh itu menamatkan penantian emas pertama negara.

"Saya yakin dengan kemampuan Aaron-Wooi Yik. Mereka boleh merealisasikan impian untuk emas pertama negara.

"Ketika ini mereka berdua masih belum meraih sebarang kejuaraan. Saya sedar perkara itu jadi saya perlu cari jalan mengapa perkara itu terjadi.

"Oleh itu kita perlu membuat keputusan yang berani untuk melakukan perubahan dan menilai dan lihat semua jika ada yang terlepas," katanya.

Sementara itu Rexy mengakui, beliau agak terkilan apabila gagal membantu Malaysia untuk memenangi emas pertama di Olimpik dan bergelar juara dunia ketika bersama skuad negara tujuh tahun lalu.

"Memang saya tak fikir panjang. Apabila Datuk Kenny Goh (Setiausaha Agung BAM) menghubungi saya dan memberikan tawaran, saya menerimanya tanpa berfikir dua kali.

"Saya akan berusaha untuk mencari ramuan terbaik memastikan impian itu tercapai. Kita sudah menang perak sebelum ini dan untuk menang emas itu adalah realistik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 9:41 PM