Aksi Viktor Axelsen dari Denmark ketika berdepan pemain  Singapura, Loh Kean Yew pada final Terbuka Indonesia. FOTO EPA
Aksi Viktor Axelsen dari Denmark ketika berdepan pemain Singapura, Loh Kean Yew pada final Terbuka Indonesia. FOTO EPA
Agensi

Denpasar, Indonesia: Pemenang pingat emas Olimpik, Viktor Axelsen merangkul kejuaraan perseorangan lelaki di Terbuka Indonesia selepas menewaskan pemain Singapura, Loh Kean Yew pada final, hari ini.

Pemain berusia 27 tahun itu mengatasi Kean Yew, 21-13, 9-21, 21-13 dalam masa 59 minit dalam kejohanan badminton yang berlangsung di pulau peranginan, Bali.

Kejayaan Axelsen hadir selepas rakan senegara Anders Antonsen terpaksa menarik diri daripada kejohanan kerana mengalami kecederaan di dada.

Dalam acara beregu lelaki, jaguh tuan rumah pasangan Marcus Gideon dan Kevin Sanjaya Sukomuljo mengungguli kejuaraan selepas menewaskan pasangan Jepun, Takuro Hoki dan Yugo Kobayashi yang menewaskan mereka pada final Masters Indonesia minggu lalu.

Beregu nombor satu dunia yang dikenali dengan gelaran The Minions di kalangan peminat badminton membalas dendam kekalahan minggu lalu apabila mengatasi gandingan Jepun itu 21-14, 21-18 dalam masa 38 minit.

"Kunci kejayaan kami adalah bahawa kami sudah mempelajari daripada kekalahan minggu lalu... kami mengkaji kesilapan kami dan memperbaikinya," kata Gideon selepas perlawanan itu.

Bagi kategori perseorangan wanita, pemain Korea Selatan, An Se-young mengesahkan kejuraan selepas menewaskan pemain pilihan kedua dari Thailand, Ratchanok Intanon 21-17, 22-20.

Sementara dalam acara beregu wanita pula pemenang pingat emas Olimpik dari Indonesia, Greysia Polii dan Apriyani Rahayu tewas kepada beregu Jepun, Nami Matsuyama dan Chiharu Shida 19-21, 19-21.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 8:36 PM