Ng Tze Yong. FOTO Ihsan Badminton Photo
Ng Tze Yong. FOTO Ihsan Badminton Photo
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Bintang muda negara, Ng Tze Yong meneruskan rentak cemerlangnya akhir-akhir ini apabila layak ke suku akhir Kejohanan Badminton Antarabangsa Belgium di Leuven, awal pagi tadi.

Tze Yong, 21, yang muncul naib juara Terbuka Czech di Brno hujung minggu lalu, mudah mengatasi pemain Azerbaijan berasal dari Indonesia, Ade Resky Dwicahyo 21-12, 21-12 dalam masa 27 minit pada aksi pusingan kedua selepas terdahulu menyingkirkan pilihan keenam dari Denmark, Victor Svendsen 24-22, 21-10 pada pusingan pertama.

Pemain berasal dari Johor itu, yang dianggap Datuk Lee Chong Wei sebagai penggantinya selepas beraksi baik pada Piala Sudirman dan Piala Thomas, dijangka tidak berdepan masalah untuk mara ke separuh akhir apabila menentang Lucas Claerbout dari Perancis petang ini.

Dua lagi perseorangan negara, Leong Jun Hao dan Cheam Jun Wei bagaimanapun terkandas pada pusingan pertama.

Jun Hao tewas kepada pilihan utama Pablo Abian dari Sepanyol 15-21, 21-18, 13-21 manakala Jun Wei tidak meneruskan aksi apabila mengalami kecederaan ketika ketinggalan 23-25, 2-11 menentang pemain Denmark, Kim Bruun.

Malaysia turut mempunyai wakil pada suku akhir dalam acara beregu lelaki dan wanita.

Man Wei Chong-Kai Wun Tee akan berdepan pilihan ketiga Mahiro Kanebo-Yunosuke Kubota dari Jepun manakala Anna Cheong-Teoh Mei Xing menentang pilihan kedua dari Scotland, Julie MacPherson-Ciara Torrance.

Wei Chong-Wun Tee, yang menerima 'bye' pada pusingan pertama, memastikan kemaraan apabila mengalahkan beregu lelaki Singapura, Terry Hee-Loh Kean Hean 21-17, 17-21, 21-19 dalam tempoh 44 minit.Anna-Mei Xing, yang turut mendapat 'bye' pusingan pertama, cemerlang mengatasi beregu Jepun, Chisato Hoshi-Aoi Matsuda 21-18, 21-10.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Oktober 2021 @ 10:09 AM