REXY legenda beregu Indonesia.
REXY legenda beregu Indonesia.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini mengumumkan pelantikan Rexy Mainaky sebagai Penolong Pengarah Kejurulatihan.

Bekas juara dunia dan pemenang pingat emas Sukan Olimpik 1996 itu akan bekerjasama dengan Pengarah Kejurulatihan, Wong Choong Hann.

Rexy akan menambah input teknikal ke dalam bidang prestasi utama. Dia secara spesifik akan diletakkan dalam acara beregu bersama skuad kebangsaan di mana ditugaskan untuk mengawasi dan meningkatkan prestasi atlet.

Legenda berusia 53 tahun itu akan melaporkan diri di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara pada 1 Disember 2021.

Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dalam satu kenyataan berkata:

"Kami sangat gembira Rexy akan menyertai pasukan kejurulatihan. Pelantikan ini adalah penting dalam mengukuhkan kemajuan yang sudah dicapai oleh persatuan dalam beberapa tahun kebelakangan serta usaha untuk mencapai lebih banyak kejayaan.

"Rexy adalah jurulatih yang bagus dan berpengalaman serta mempunyai rekod cemerlang. Dia akan diberi KPI (indeks prestasi utama) khusus untuk meningkatkan prestasi barisan beregu muda kami."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 10:01 PM