Lee Zii Jia. FOTO Agensi
Lee Zii Jia. FOTO Agensi
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Mudah buat perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia apabila mara ke suku akhir Terbuka Denmark selepas menewaskan rakan senegara, Liew Daren 21-11, 21-14 dalam aksi pusingan kedua di Odense, malam tadi.

Namun jejak langkah itu gagal dituruti oleh pemenang pingat gangsa temasya Olimpik Tokyo, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang tewas di tangan beregu Jepun, Akira Koga-Taichi Saito 19-21,13-21.

Bagaimanapun tugas berat menanti Zii Jia apabila dia dijadualkan bertemu pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo, Viktor Axelsen malam ini.

Kali terakhir kedua-dua pemain itu bertemu adalah pada final Seluruh England 2021, Mac lalu yang menyaksikan Zii Jia muncul juara.

Turut mengiringi Zii Jia ke suku akhir adalah beregu lelaki negara Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei apabila berjaya mengejutkan pilihan ketujuh kejohanan dari India, Satwiksairaj Rakireddy-Chirag Shetty 14-21, 21-15, 21-15.

Mereka akan bertemu pilihan keempat dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhamad Rain Ardianto untuk aksi suku akhir.

Selain itu pasangan beregu lelaki profesional negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut cemerlang menempah tiket ke suku akhir Yew Sin-Ee Yi menewaskan pasangan Scotland, Alexander Dunn-Adam Hall 21-17, 21-11 dan akan bertemu Mark Lamsfuss-Marvin Seidel dari Jerman.

Manakala Kian Meng-Pei Jing menundukkan gandingan Korea Selatan, Ko Sung Hyun-Eom Hye Won 18-21, 21-18, 21-13 untuk menempah pertemuan dengan pilihan keempat, Yuta Watanabe-Arisan Higashino dari Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 9:14 AM