INDRA mengakui untuk mempersiapkan barisan pemain wanita terbaik dunia bukanlah perkara mudah. FOTO NSTP
INDRA mengakui untuk mempersiapkan barisan pemain wanita terbaik dunia bukanlah perkara mudah. FOTO NSTP
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Perjalanan masih jauh dan banyak lagi perkara harus dilakukan jika mahu melihat pemain perseorangan badminton wanita negara 'berdiri sama tinggi' dengan pemain handalan dunia lain.

Ketua jurulatih perseorangan wanita negara Indra Widjaja berkata, taraf perseorangan wanita negara ketika ini masih lagi jauh berbanding pemain negara seperti China sekali gus memerlukan kerja keras merealisasikan impian untuk memperoleh kejayaan di kejohanan besar.

Beliau berkata, walaupun rata-rata pemain perseorangan negara masih mentah namun mereka menunjukkan peningkatan positif seterusnya tidak mustahil mampu menggegarkan arena badminton kelak.

Indra juga mengakui untuk mempersiapkan barisan pemain wanita terbaik dunia bukanlah perkara mudah namun beliau melihat perkara itu adalah cabaran atau rintangan perlu dihadapi untuk mengecapi kejayaan kelak.

"Saya lihat pemain perseorangan wanita belum lagi mencapai tahap yang mampu bersaing dengan juara dunia atau kuasa besar dalam badminton.

"Ada beberapa pemain muda seperti K Letshanaa dan Siti Nurshuhaini Azman baru saja saya lihat permainan mereka dan banyak perlu dilakukan untuk mempersiapkan mereka ke kejohanan lebih besar.

"Mereka ada potensi namun perlu bersabar dengan sekurang-kurangnya dua atau tiga tahun saja lagi untuk gilap lagi permainan terutama membabitkan keyakinan dan kemahiran masing-masing," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Mengikut rekod, Malaysia mengakhiri kempen Piala Uber baru-baru ini di kedudukan tercorot Kumpulan D selepas mengalami kekalahan 4-1 masing-masing kepada tuan rumah Denmark dan Kanada, selain dibelasah 5-0 oleh China, sekali gus tidak menepati sasaran mara ke suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 9:59 PM