TZE Yong akui sedikit gementar kerana turun berdepan pemain yang berada dalam kelompok 10 terbaik dunia. FOTO Ihsan Persekutuan Badminton Dunia
TZE Yong akui sedikit gementar kerana turun berdepan pemain yang berada dalam kelompok 10 terbaik dunia. FOTO Ihsan Persekutuan Badminton Dunia
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan kedua negara, Ng Tze Yong mengakui terkilan dan memohon maaf kepada pasukan kerana gagal memberikan mata ketika dia turun berdepan jaguh dari Indonesia, Jonatan Christie.

Segala usaha dan yang terbaik sudah diberikan namun Tze Yong yang menghuni ranking ke-82 dunia gagal untuk menandingi ketangkasan pemain ketujuh dunia, Jonatan Christie apabila tewas 21-14, 19-21, 16-21 sekali gus menamatkan kempen Malaysia di Aarhus.

Kekalahan Tze Yong itu menyaksikan cabaran negara tamat di suku akhir apabila tewas 0-3 kepada Indonesia dan biarpun gagal mara ke separuh akhir, skuad muda negara berjaya mencapai sasaran suku akhir seperti yang ditetapkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Tze Yong berkata, dia sedikit gementar kerana turun berdepan pemain yang berada dalam kelompok 10 terbaik namun berjaya mempamerkan aksi terbaik untuk menang di set pertama.

"Saya minta maaf kepada semua kerana tak dapat berikan mata biarpun sudah menggunakan taktikal yang diinginkan.

"Saya memang tak pernah bermain dengan pemain 10 terbaik dunia. Sehari sebelum perlawanan itu saya ada melihat dan mengkaji permainan lawan untuk lebih bersedia dari segi taktikal.

"Ia menampakkan hasil apabila berjaya menang di set pertama. Tapi saya akui saya tewas dari segi pengalaman dan tahap kecergasan," katanya.

Tze Yong berkata, dia akan terus berusaha dan yakin jika meneruskan latihan dan aksi yang konsisten dia mampu untuk berada dalam kelompok 30 terbaik dunia dalam tempoh setahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 11:56 AM