Pemain perseorangan wanita negara, Eoon Qi Xuan. FOTO BAM
Pemain perseorangan wanita negara, Eoon Qi Xuan. FOTO BAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kekal tenang dan tiada sebarang tekanan antara kunci kejayaan pemain perseorangan wanita negara, Eoon Qi Xuan untuk melakar kemenangan ke atas Line Christophersen pada perlawanan pertama peringkat Kumpulan D Piala Uber yang berlangsung di Aarhus, Denmark, malam tadi.

Pemenang pingat perak kejohanan Remaja Asia 2017 itu menewaskan lawannya yang berada di ranking ke-23 dunia dalam tempoh satu jam dua minit dengan keputusan 18-21, 21-18, 21-15.

Qi Xuan berkata, dia berusaha memberikan persembahan terbaik dan cuba mengurangkan kesilapan untuk memastikan kemenangan berpihak kepadanya.

"Tentunya ada sedikit perasan gementar tetapi saya tak banyak fikir kerana lawan berada di ranking lebih tinggi dan saya tak ada sebarang tekanan, hanya bermain yang terbaik di gelanggang.

"Saya tak ada tekanan, hanya memasuki gelanggang, main permainan saya dan semua rakan sepasukan memberikan sokongan dari belakang," kata Qi Xuan yang berada di ranking ke-123 dunia.

Walaupun Qi Xuan meraih kemenangan namun belum cukup memadai untuk membantu skuad negara menundukkan Denmark apabila tewas kepada pasukan itu 1-4.

Pemain perseorangan utama negara, S Kisona tewas 11-21, 7-21 di tangan Mia Blichfeldt dalam tempoh 34 minit sebelum beregu wanita, Lee Meng Yean-M Thinaah ditundukkan Maiken Fruergaard-Sara Thygesen 19-21, 21-10, 13-21.

Qi Xuan kemudian menaikkan semula semangat pasukan sebelum Teoh Mei Xing-Yap Ling tewas di tangan Amelie Magelund-Freja Ravn, 13-21, 19-21.

K Letshanaa yang menyertai perlawanan terakhir tewas walaupun mempamerkan semangat juang tinggi berdepan pemain di ranking ke-35, Line Kjaersfeldt 18-21, 14-21.

Skuad wanita negara bakal berdepan cabaran sukar menentang China 7.30 malam ini dan melengkapkan aksi Kumpulan D menentang Kanada pada Selasa jam 1 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Oktober 2021 @ 5:08 PM