Ahmad Faizal (depan, tiga kiri) beramah mesra bersama atlet badminton ketika melawat ke Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara, hari ini. FOTO Bernama
Ahmad Faizal (depan, tiga kiri) beramah mesra bersama atlet badminton ketika melawat ke Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara, hari ini. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menzahirkan rasa kagum dengan pendekatan yang diguna pakai oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam usaha mereka melahirkan lebih ramai pemain berbakat pada masa depan.

Malah beliau mahu 'blueprint' Akademi Badminton Malaysia (ABM) menjadi contoh kepada persatuan sukan yang lain terutama membabitkan sukan teras.

Katanya, pendekatan di ABM sangat baik apabila turut menjalankan sesi persekolahan untuk pelatih dan mereka semua dikumpulkan dalam satu gelembung seawal usia 13 tahun dan diajar mengenai disiplin dan sebagainya.

Namun beliau akui masalah utama ketika ini adalah kekangan kewangan yang menjadi halangan utama kepada persatuan sukan yang lain untuk mengikuti jejak langkah BAM.

"Akademi seperti ini sangat bagus kerana mereka berada dalam satu gelembung dan ia berbeza dengan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) yang memberi fokus kepada banyak sukan.

"Tapi kita faham persatuan-persatuan bermasalah. Tapi tentunya KBS (Kementerian Belia dan Sukan) mempunyai tanggungjawab untuk pastikan sukan itu diteruskan.

"Malah bagi pihak KBS menerusi MSN (Majlis Sukan Negara) kita memberi jaminan bahawa bantuan kewangan akan diteruskan untuk atlet dan jurulatih bagi membolehkan program dijalankan," katanya yang turut mengulas mengenai situasi Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) yang dikatakan sudah hampir muflis.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bendera kepada ketua pasukan badminton negara, Lee Zii Jia yang akan berangkat menyertai Piala Sudirman di Finland bermula 26 September hingga 3 Oktober dan diikuti Piala Thomas/Uber pada di Denmark dari 9 hingga 17 Oktober.

Tegasnya lagi, beliau juga melihat bahawa BAM sendiri tidak mempunyai kewangan yang kukuh dan masih mendapat bantuan tambahan daripada kerajaan namun pada masa yang sama mereka mencari jalan untuk mendapatkan dana, penajaan dan sebagainya.

"Bagi pihak KBS, tentunya kami akan tetap bagi kerjasama dengan semua termasuk BAM sebab mereka mempunyai program berterusan yang baik.

"Saya fikir mereka (BAM) layak untuk mendapat bantuan agar usaha untuk pastikan negara berada di tahap teratas di dunia dapat diteruskan malah diperhebatkan lagi dari masa ke semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 5:45 PM