Lee Zii Jia ketika beraksi di Olimpik Tokyo. FOTO Bernama
Lee Zii Jia ketika beraksi di Olimpik Tokyo. FOTO Bernama
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Hanya Lee Zii Jia dan pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang dilihat mempunyai potensi untuk beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 tatkala yang lain mungkin akan bergelut disebabkan keadaan semasa terutama dalam berdepan situasi pandemik Covid-19.

Perkara itu disuarakan oleh bekas perseorangan lelaki negara, Roslin Hashim yang membayangkan acara badminton bakal dikuasai oleh pemain dari benua Eropah pada temasya berkenaan.

"Saya mempunyai pendapat dan alasan sendiri. Disebabkan kes Covid-19 dalam negara ini banyak benda disekat dan ia akan menyebabkan sukan negara bakal ketinggalan dua atau tiga tahun ke belakang," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Ujar bekas pemain nombor satu dunia itu, banyak fasiliti sukan yang ditutup dan hanya mengharapkan gelembung sukan bakal memberikan kesukaran buat bakat muda negara.

"Sebagai pemain mereka memerlukan kehidupan dan ketenangan. Sekarang ini hendak jumpa keluarga pun susah, lebih balik kejohanan perlu kuarantin dan sambung latihan semula, mereka sebenarnya memerlukan kehidupan, gelembung sukan itu betul tidak salah tapi sepatutnya mereka diberi kelonggaran lebih.

"Atlet sepatutnya mendapat kelebihan istimewa kerana berjuang untuk negara, Olimpik bukannya peringkat sekolah mahupun negeri, ia adalah bertaraf dunia.

"Jika kerajaan tidak melakukan sesuatu (menjelang 2024) ia akan memberi kesan untuk perkembangan bakat, bukan saja badminton malah sukan lain juga akan ketinggalan berbanding negara lain. Kalau pandemik ini reda tiga atau empat tahun akan datang, kita masa itu terkial-kial dan jangan persoalkan pula ke mana atlet kita ketika itu," katanya.

Roslin mengakui bahawa Eropah akan menguasai sukan badminton tatkala Malaysia masih lagi mengekang penularan Covid-19 tapi tidak terbukti dari segi pelaksanaan.

Beliau membayangkan ia agak sukar buat pemain remaja negara menonjol dan menggalas harapan di Paris 2024 jika masih lagi dibelenggu dengan pandemik Covid-19 yang tidak kelihatan cara penyelesaian yang sepatutnya.

Badminton negara meraih satu gangsa di Tokyo melalui Aaron-Wooi Yik dalam acara beregu lelaki, manakala Zii Jia pula terkandas di pusingan kedua selepas tumpas kepada pemenang pingat perak, Chen Long dari China.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Ogos 2021 @ 9:01 PM