PEMAIN beregu badminton negara, Aaron Chia (kanan) bersama Soh Wooi Yik bergambar bersama pingat gangsa dimenangi di Tokyo 2020 ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini. FOTO Bernama
PEMAIN beregu badminton negara, Aaron Chia (kanan) bersama Soh Wooi Yik bergambar bersama pingat gangsa dimenangi di Tokyo 2020 ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini. FOTO Bernama
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Usah terlalu bermegah dan berpuas hati dengan kejayaan meraih pingat gangsa di Olimpik Tokyo 2020.

Demikian ingatan bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Beliau berkata, kejayaan meraih gangsa menerusi beregu badminton lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dilihat menyelamatkan BAM kerana jika tidak, skuad badminton negara akan pulang dengan tangan kosong.

"Pada Olimpik kali ini, saya lihat prestasi rata-rata barisan pemain negara tidaklah begitu memberangsangkan. Harapan sebenarnya terarah kepada Zii Jia, tetapi dia terkandas.

"Kemudian Aaron-Wooi Yik tampil di separuh akhir dengan tidak diberikan sebarang tekanan. Mereka mempamerkan semangat juang tinggi ketika lawan (Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan) mungkin sudah tidak bersemangat untuk beraksi.

"Saya difahamkan BAM cukup berpuas hati dengan satu gangsa dimenangi. Tapi gangsa itu sebenarnya bukan disasarkan oleh BAM," katanya.

Zolkples berkata, prestasi Zii Jia mungkin ada kaitan dengan tekanan hebat terus diletakkan kepada jaguh perseorangan negara itu, selepas menjuarai Seluruh England.

Menurutnya, sebelum ini beliau sering mengingatkan supaya tidak terlalu beri tekanan kepada pemain terutama Zii Jia dan BAM harus bijak menguruskan barisan pemain mereka.

Kecuali Aaron-Wooi Yik, prestasi skuad badminton negara pada Tokyo 2020 kali ini sememangnya kurang memberangsangkan selepas semua wakil negara terkandas awal.

Ia berbeza berbanding lima tahun lalu di temasya Rio 2016 apabila skuad badminton negara menyumbang tiga pingat perak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 4:13 PM