Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak pernah dan tidak akan memberi sebarang kelulusan penyertaan warganegara Israel ke dalam sebarang kejohanan sukan termasuklah Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2021 yang sudah pun ditangguhkan.

Pihak Persatuan Badminton Malaysia (BAM) juga sedia maklum mengenai perkara ini dan sudah disampaikan kepada pihak Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Pihak BAM juga menjelaskan bahawa jadual perlawanan 'draw' yang dikeluarkan oleh pihak BWF tidak pernah diluluskan oleh pihak BAM mahupun KBS untuk tujuan kemasukan ke Malaysia.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, menegaskan bahawa ia adalah syarat yang sudah lama terpakai selari dengan dasar luar negara.

"Saya juga sentiasa mengingatkan bahawa semua kelulusan penganjuran kejohanan sukan antarabangsa oleh KBS melalui Pesuruhjaya Sukan adalah tertakluk kepada dasar luar negara.

"Ini termasuklah larangan penyertaan atau pembabitan dari negara Israel tanpa sebarang kompromi," katanya.

Sehubungan itu, KBS ingin menafikan sebarang dakwaan bahawa pemain Israel diberi kebenaran menyertai Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia seperti mana yang tular di media sosial.

Sebelum ini saingan yang dijadual berlangsung pada 25-30 Mei di Axiata Arena, Bukit Jalil ditangguhkan susulan peningkatan mendadak kes Covid-19 sejak kebelakangan ini.

BAM dalam satu kenyataan memaklumkan, meskipun persiapan rapi sebagai tuan rumah sudah dibuat, namun lonjakan kes Covid-19 baru-baru ini memaksa badan itu mengambil keputusan menangguhkan kejohanan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Mei 2021 @ 8:07 PM