Twitter Reezal Merican
Twitter Reezal Merican
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengarahkan tiga organisasi untuk segera bertindak susulan enam pemain badminton negara disahkan positif Covid-19.

Reezal Merican dalam satu hantaran di Twitter berkata, beliau sudahpun dimaklumkan mengenai kes jangkitan berkenaan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) dan satu arahan dikeluarkan kepada Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi mengambil tindakan segera.

"Saya sudah dimaklumkan mengenai kes jangkitan Covid-19 di ABM. Arahan sudah diberikan kepada MSN, ISN dan BAM supaya mengambil tindakan segera mengikut arahan dan prosedur KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia)," katanya.

Reezal Merican menegaskan keselamatan atlet, jurulatih dan pegawai sentiasa menjadi keutamaan BAM dalam satu kenyataan sebelum ini mengesahkan enam pemainnya didapati positif Covid-19 selepas menjalani ujian pengesanan pandemik berkenaan.

Badan induk itu berkata, kesemua pemain berkenaan tidak menunjukkan sebarang simptom dan pada ketika ini sedang menjalani kuarantin serta pemantauan mengikut kepada protokol ditetapkan KKM, KBS dan MSN.

Selain itu, ABM turut menjalani proses sanitasi pada Jumaat lalu.

"Selepas perbincangan bersama KKM, MSN dan Institut Sukan Negara (ISN), sejumlah 91 pemain, jurulatih dan pegawai yang bertempat di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara secara serta merta melakukan ujian calitan. Hasil ujian berkenaan menunjukkan negatif.

"Latihan dalam kuarantin yang sebelum ini dilakukan di ABM terpaksa diperkenalkan semula manakala aktiviti persekolahan pula akan dijalankan secara dalam talian untuk tempoh beberapa hari.

"Kesihatan dan keselamatan semua pihak di ABM menjadi keutamaan pihak kami," kata BAM.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 April 2021 @ 6:17 PM