Tan Sri Mohamad Norza Zakaria. FOTO Bernama
Tan Sri Mohamad Norza Zakaria. FOTO Bernama
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bercadang untuk membenarkan kehadiran penonton ke venue pertandingan bagi menyaksikan saingan Terbuka Malaysia, yang akan berlangsung pada 25 hingga 30 Mei depan.

Menurut Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, pihaknya sememangnya bercadang untuk membawa masuk penonton, dengan kini hanya menunggu kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

"Ya memang ada cadangan berkenaan dan kami pun sudah berbincang dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mendapat kelulusan daripada MKN dan KKM," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) BAM hari ini.

Ujar beliau, penilaian terhadap penganjuran Terbuka Malaysia juga amat penting kerana ia boleh menjadi contoh dan panduan kepada kejohanan antarabangsa bagi sukan lain untuk dianjurkan di Malaysia.

"Dari segi peratusan (kemasukan), mungkin panduan daripada MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) boleh kami gunakan. Ini adalah pertandingan antarabangsa dan berskala besar.

"Jika Terbuka Malaysia berjaya ia mampu menjadi panduan kepada sukan lain untuk menganjurkan kejohanan antarabangsa di negara ini," katanya.

Norza turut berhasrat mengikut cara Persatuan Badminton Thailand dalam penganjuran kejohanan di Bangkok, Thailand selain Eropah bagi diguna pakai di Terbuka Malaysia kali ini.

"Berapa banyak negara itu kami masih lagi menunggu kepada mereka yang berminat. Sememangnya ia akan dilaksanakan dengan gelembung sukan.

"Cuma, bagaimana rupa dan bentuk gelembung itu kami masih berbincang dengan MKN. Contohnya berapa ramai yang akan dikuarantin, bagaimana proses dari negara luar ke sini, di mana mereka akan lakukan ujian calitan dan menjalani pengasingan kendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 April 2021 @ 7:14 PM