Agong anggap kejayaan Zii Jia mampu cetus semangat kepada semua atlet sukan. FOTO Ihsan FB Istana Negara
Agong anggap kejayaan Zii Jia mampu cetus semangat kepada semua atlet sukan. FOTO Ihsan FB Istana Negara
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah di atas kejayaan perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia meraih gelaran juara di Seluruh England, semalam.

Baginda turut mengharapkan kejayaan menewaskan pemain ranking kedua dunia dari Denmark, Viktor Axelsen 30-29, 20-22, 21-9 di pentas final yang berlangsung di Birmingham itu mampu dijadikan sumber semangat buat Zii Jia merangkul lebih banyak kecemerlangan di masa akan datang.

Istana Negara di laman Facebook hari ini berkata, baginda menzahirkan rasa suka cita dan berbangga atas kejayaan Zii Jia yang sekali gus menjulang serta mengharumkan nama negara di persada dunia.

"Yang di-Pertuan Agong menzahirkan ucapan tahniah kepada wira badminton negara Lee Zii Jia di atas kejayaan beliau merangkul kejuaraan Kejohanan Badminton Seluruh England semalam."

"Seri paduka baginda menzahirkan rasa suka cita dan bangga atas kejayaan Lee Zii Jia yang sekali gus menjulang dan mengharumkan nama negara di persada dunia.

"Sesungguhnya, kejayaan beliau pasti menggembirakan seluruh rakyat Malaysia.

"Seri paduka baginda turut menzahirkan harapan semoga kejayaan ini menjadi suntikan semangat kepada Zii Jia untuk berlatih lebih keras untuk menjadi lebih cemerlang pada masa depan.

"Seri paduka baginda menzahirkan harapan agar kejayaan beliau ini juga menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan di dalam bidang masing-masing.

"Seri paduka baginda turut mengambil kesempatan ini menzahirkan penghargaan kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di bawah teraju Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan barisan kejurulatihan atas kejayaan Lee Zii Jia."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mac 2021 @ 7:01 PM