JALANI ketika beraksi pada 1986 tahun yang sama Maradona membantu Argentina julang Piala Dunia. FOTO NSTP
JALANI ketika beraksi pada 1986 tahun yang sama Maradona membantu Argentina julang Piala Dunia. FOTO NSTP
Datuk Seri Jalani Sidek

Nampaknya peminat bola sepak di seluruh dunia masih lagi meratapi kehilangan legenda Argentina, Diego Maradona yang meninggal dunia Rabu lalu.

Walaupun saya dahulunya bukanlah pemain bola sepak, jika menyebut nama Maradona terutama ketika era 1980-an, seluruh dunia mengenalinya termasuk diri saya.

Ketika itu juga zaman saya sedang meningkat naik dengan memenangi pelbagai kejohanan dan Maradona pula 'meletup' bersama skuad kebangsaannya apabila memenangi Piala Dunia 1986.

Boleh dikatakan Maradona sedikit sebanyak memberi inspirasi kepada saya untuk menjadi seorang atlet yang berjaya. Dia membuktikan walaupun mempunyai susuk tubuh yang kecil, bola seolah-olah sentiasa melekat di kakinya.

Sebab itu saya melabelkan Maradona sebagai atlet yang genius. Kekurangan fizikal yang ada padanya bukanlah penghalang untuknya menjadi salah seorang pemain terhebat di dunia.

Walaupun separuh kehidupannya diselubungi dengan pelbagai kontroversi yang tidak perlu saya sebutkan, kita harus mengambil sisi positif yang ada pada dirinya.

Maradona meninggalkan impak besar kepada negaranya dan mungkin juga seluruh dunia kerana aksinya yang cemerlang bersama skuad kebangsaan dan pasukan kelab diwakilinya.

Sebagai atlet, kita juga harus berusaha bersungguh-sungguh dalam mengharumkan nama negara supaya terus dikenang sehingga ke hujung usia.

Begitulah perjalanan hidup Maradona. Pemergiannya diratapi dan yang pasti Maradona tiada galang gantinya. Jumpa lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2020 @ 10:31 PM