AKSI Aubameyang di saingan Liga Europa bertemu Rapid Vienna. FOTO AFP
AKSI Aubameyang di saingan Liga Europa bertemu Rapid Vienna. FOTO AFP
AFP

London: Mikel Arteta memberi sokongan kepada kapten Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang membuktikan kegagalannya menjaringkan gol adalah sesuatu yang bersifat sementara sahaja.

Bintang Gabon itu sudah melalui empat perlawanan tanpa dapat menjaringkan gol sehinggalah berjaya meledak gol kemenangan ketika mencatat kemenangan 2-1 ke atas Rapid Vienna di saingan Liga Europa.

Pemain berusia 31 tahun itu adalah penyerang paling berbisa Arsenal sejak tiba dari Borussia Dortmund pada Januari 2018 namun dia masih menerima kritikan berikutan prestasi semasanya.

Aksi hambarnya terutama ketika Arsenal tewas di Liverpool dan Manchester City jelas mengecewakan penyokong setia kelab itu.

Namun Aubameyang sudah menjaringkan 19 gol daripada 29 penampilan bersama Arsenal sejak pelantikan Arteta Disember tahun lalu dan bos Gunners itu tidak pernah meragui kemampuan pemain bintangnya itu.

"Harapan untuknya ialah dia perlu menjaringkan gol pada setiap perlawanan," kata Arteta menjelang perlawanan Liga Perdana bertemu Leicester awal pagi Isnin.

"Ia adalah perkara biasa bagi pemain utama sepertinya sepertimana yang dilakukan pada masa lalu.

"Kami di sini akan cuba untuk membantunya dan akan terus memberi sokongan kepadanya pada waktu sukar.

"Dia perlu meraih lebih banyak peluang untuk menjaringkan gol. Dia perlukan bola sampai kepadanya di sekitar kotak penalti dalam usahanya untuk menjaringkan gol," katanya.

Arteta juga mendakwa, status lawan yang ditemui juga menjadi faktor kepada prestasi semasa Aubameyang.

"Jika anda lihat kepada perlawanan yang kami lalui, lima daripada tujuh perlawanan yang kami harungi adalah bertemu pasukan hebat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 9:25 AM