Penyerang Barcelona, Ousmane Dembele (tengah) meraikan kejayaan menjaringkan gol bersama Lionel Messi pada aksi Liga Juara-Juara. FOTO AFP
Penyerang Barcelona, Ousmane Dembele (tengah) meraikan kejayaan menjaringkan gol bersama Lionel Messi pada aksi Liga Juara-Juara. FOTO AFP
AFP

Barcelona: Barcelona mengetepikan faktor negatif yang melanda kelab itu pada Liga Juara-Juara apabila membelasah kelab kerdil dari Hungary, Ferencvaros 5-1 pada saingan peringkat Eropah pertama sejak dimalukan Bayern Munich musim lalu.

Lionel Messi menyempurnakan penalti sebelum pemain berusia 17 tahun, Ansu Fati menambah dua gol menarik dengan satu daripadanya hasil voli darinya sendiri dan kemudian mengumpan untuk Philippe Coutinho.

Masalah pertahanan Barca terus berlaku di Camp Nou dengan Gerard Pique dibuang padang selepas sejam kerana menghalang Tokmac Nguen dalam kotak penalti.

Ihor Kharatin meledak penalti buat lawan namun gol daripada Pedri dan Ousamane Dembele menamatkan sebarang harapan untuk kembali dan memberikan Barcelona kemenangan sangat diperlukan menjelang saingan Clasico berdepan Real Madrid Ahad ini.

"Kami mengharungi perlawanan ini dengan motivasi terbaik," kata Fati.

"Ia Clasico, perlawanan yang saya sentiasa idamkan untuk beraksi."

Kemenangan besar itu meletakkan mereka di kedudukan teratas Kumpulan G tapi kad merah buat Pique bermakna dia akan terlepas saingan minggu depan bertemu Juventus yang sebelum itu menewaskan Dynamo Kiev.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 8:02 AM