AKSI  Quartararo (kanan) ‘melayan’ selekoh  di Le Mans. FOTO AFP
AKSI Quartararo (kanan) ‘melayan’ selekoh di Le Mans. FOTO AFP
Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Walaupun hanya menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan di Grand Prix (GP) Perancis, pelumba Petronas Yamaha Sepang Racing Team (Petronas SRT), Fabio Quartararo tetap menganggap ia satu keputusan positif.

Menurut, Quartararo atau terkenal dengan gelaran 'El Diablo', keputusan itu tetap penting dalam misinya mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu keseluruhan MotoGP menjelang perlumbaan GP Aragon, hujung minggu ini.

"Kami semua sudah berada di petak permulaan untuk memulakan perlumbaan dan selepas itu hujan mula turun yang mana ia sesuatu yang mengecewakan. Kami tahu, cuaca kering adalah lebih baik untuk kami," katanya.

Ujar Quartararo, perlumbaan semalam memang sukar tetapi dia gembira kerana mereka tidak berputus asa untuk bersaing.

"Pada pusingan terakhir apabila Joan (Mir) memintas saya, saya berjaya memintasnya semula. Ia penting untuk mengutip seberapa banyak mata yang boleh bagi membolehkan kami mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu," kata Quartararo.

Pelumba Perancis itu ketika ini mendahului carta dengan mengumpul 115 mata diikuti Mir (Team Suzuki Ecstar) dengan 105 mata, manakala Andrea Dovizioso dari Mission Winnow Ducati Team ketiga (97 mata). Pada aksi di Le Mans kelmarin, Quartararo terlepas peluang terbaik untuk sekurang-kurangnya menaiki podium selepas bermula di petak hadapan namun faktor cuaca yang tidak menentu sedikit menjejaskan rentak tunggangannya.

Perlumbaan semalam dimenangi pelumba Ducati Team, Danilo Petrucci diikuti Alex Marquez dari Repsol Honda dan pelumba Red Bull KTM, Pol Espargaro ketiga.

Sementara itu, pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi yang beraksi bersama pasukan Petronas Sprinta Racing sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ke-19.

Bagaimanapun, Khairul Idham yang lebih dikenali dengan julukan SuperKip tekad bangkit untuk menghasilkan keputusan yang lebih positif pada GP Aragon nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Oktober 2020 @ 6:57 PM