AZIZULHASNI ketika ini menjalani latihan di Melbourne. FOTO AFP
AZIZULHASNI ketika ini menjalani latihan di Melbourne. FOTO AFP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Fokus pelumba nombor satu negara, Azizulhasni Awang tidak pernah terjejas biarpun terpaksa berdepan dengan pelbagai rintangan termasuklah penularan wabak Covid-19.

Dia yang kini berpangkalan di Melbourne tetap berlatih seperti biasa setiap hari di velodrom dengan keadaan di Victoria juga semakin baik apabila kerajaan negara itu melonggarkan perintah kawalan pergerakan dari peringkat keempat ke peringkat ketiga.

Ditanya adakah fokusnya akan terjejas apabila hampir setahun hanya menjalani latihan semata-mata tanpa sebarang kejohanan, anak kelahiran Terengganu itu berkata, tiada masalah bagi dirinya kerana semuanya berada dalam keadaan terkawal.

Bagaimanapun pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio dalam acara keirin itu berharap keadaan semakin baik dan beliau bersama rakan sepelatih, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dapat menyertai sekurang-kurangnya satu atau dua kejohanan tahun depan.

"Latihan di velodorm masih berjalan seperti biasa. Cuma latihan gimnasium masih buat di rumah sebab semua gimnasium di sini (Melbourne) masih ditutup.

"Bagi saya buat masa ini tanpa sebarang kejohanan masih lagi okay sebab sekarang ini saya fokus kepada untuk menambah lagi jisim otot. Tapi harapnya awal tahun depan keadaan semakin baik dan jadi dapatlah berlumba kembali sekali atau dua jika ada kejohanan atau kami dibenarkan menyertai kejohanan," katanya.

Azizul menjadi taruhan terbaik negara untuk memburu pingat emas pertama negara di temasya Sukan Olimpik Tokyo tahun depan. Dia turut menerima suntikan semangat daripada kerajaan Terengganu bernilai RM100,000 baru-baru ini untuk membantu persiapannya ke temasya terbesar itu.

Muncul juara di Kejohanan Trek Asia 2019 di Korea Selatan selain dua gangsa diraih ketika Kejohanan Berbasikal dunia di Berlin, awal tahun ini, bekas Olahragawan negara itu turut mendoakan keadaan di Malaysia kembali terkawal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2020 @ 7:54 PM