Pemain Pahang, Herold Mark Goulan (tengah) diasak pemain Perak, Anthony Paul pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur. FOTO Farizul Hafiz Awang
Pemain Pahang, Herold Mark Goulan (tengah) diasak pemain Perak, Anthony Paul pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur. FOTO Farizul Hafiz Awang
Asrol Awang


Kuantan: Skuad Pahang gagal meneruskan rentak kemenangan selepas terikat 3-3 berdepan Perak di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.

Namun, pada perlawanan itu, tuan rumah bermula cemerlang seawal minit kelapan menerusi jaringan pemain pertahanan, R Dinesh yang menewaskan penjaga gol lawan, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.

Pada minit ke-26, pemain tengah, Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim menjaringkan gol kedua buat skuad Tok Gajah.

Empat minit sebelum berakhir separuh aksi pertama, Ivan Carlos menambah tekanan buat Perak selepas penyerang import tuan rumah itu memastikan Pahang selesa mendahului 3-0.

Namun, dua minit babak kedua bersambung, skuad Mehmet Durakovic mengurangkan defisit gol 1-3 selepas pemain tengah, J Partiban berjaya menewaskan penjaga gol Pahang, Helmi Eliza Elias.

Usaha tanpa jemu Perak yang menggandakan asakan ke kubu tuan rumah berhasil apabila berjaya merapatkan jurang gol menerusi jaringan Shahrel Fikri Md Fauzi pada minit ke-84.

Pada minit akhir perlawanan, Partiban menjaringkan gol ketiga buat Perak untuk memastikan skuad itu membawa pulang satu mata.

Bagi Pahang pula, keputusan seri itu amat mengecewakan selepas selesa mendahului 3-0 pada separuh masa pertama.

Keputusan perlawanan Liga M :

Liga Super

PDRM 0 Selangor 7

Felda United 0 Terengganu FC 3

Pahang 3 Perak 3

Liga Perdana

Kelantan 2 Negeri Sembilan 2

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2020 @ 11:17 PM