Jurulatih PDRM, Mohamad Ishak Kunju Mohamad. FOTO Malik Muhamad
Jurulatih PDRM, Mohamad Ishak Kunju Mohamad. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Selepas tersingkir ke saingan Liga Perdana musim depan, pasukan PDRM mahu mencari kemenangan pertama musim ini sebagai penawar dalam kancah Liga Super.

Pengendalinya, Mohamad Ishak Kunju Mohamad juga mahu pastikan The Cops turun ke divisyen dua dengan sekurang-kurangnya mengutip mata walaupun berbaki dua perlawanan.

Justeru bekas pertahanan Terengganu itu meletakkan harapan yang tinggi anak buahnya mampu bersaing hebat dan mengutip mata penuh bertemu Selangor di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur malam esok.

"Walaupun saya akui perlawanan sukar untuk mendapat mata penuh, tapi saya sudah maklumkan kepada pemain perlu bermain bermati-matian untuk merakam kemenangan pertama musim ini.

"Hanya kemenangan pertama sahaja mampu jadi penawar buat kami lebih-lebih lagi kami belum lagi merakam sebarang kemenangan musim ini, hanya dua kali seri bertemu Sabah pada aksi pertama liga dan Felda United.

"Kami juga mahu beraksi dalam saingan Liga Perdana musim depan tanpa sebarang hutang, kami tidak ada pilihan lain kecuali menang bertemu Selangor dan terakhir menentang PJ City di tempat lawan.

"Jika pemain mengikut perancangan yang diatur dan mereka mampu memperagakan aksi terbaiknya, keputusan pasti memihak kepada kami biarpun sedar lawan mempunyai reputasi hebat dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) apatah lagi dibimbing pengendali baharu," katanya.

Ishak berkata, bagi memastikan impian itu tercapai, beliau bakal melakukan rombakan dalam kesebelasan utama dengan kemungkinan menyenaraikan penjaga gol utamanya, Bryan See yang baharu pulih daripada kecederaan.

"Kita ada empat pemain dalam senarai kecederaan, namun situasi ini tidak begitu membimbangkan kerana kita masih mempunyai pemain lain yang mampu menggalas tugas berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2020 @ 10:10 PM