GAYA Leno selepas menyelamatkan sepakan penalti Liverpool di Anfield. FOTO AFP
GAYA Leno selepas menyelamatkan sepakan penalti Liverpool di Anfield. FOTO AFP
AFP

London: Mikel Arteta memuji penjaga gol Arsenal, Bernd Leno yang membalas kepercayaannya dengan menyelamatkan dua sepakan bagi membolehkan Gunners menewaskan Liverpool 5-4 menerusi penentuan penalti untuk mara ke suku akhir Piala Liga.

Skuad Arteta sebelum ini menewaskan Liverpool juga menerusi penalti pada Piala Komuniti awal musim dan mereka mengulanginya sekali lagi pada pusingan keempat, awal pagi tadi.

Joe Willock menjaringkan penalti kemenangan selepas Leno menyelamatkan sepakan Divock Origi dan Harry Wilson.

Adrian menyelamatkan sepakan ketiga Arsenal daripada Mohamed Elneny tetapi Alexandre Lacazette, Cedric Soares, Ainsley Maitland-Niles dan Nicolas Pepe berjaya menyempurnakan sebelum Willock memastikan pertembungan dengan Manchester City pada saingan lapan terakhir.

AKSI Leno menyelamatkan gawang daripada ditembusi penyerang Liverpool. FOTO AFP
AKSI Leno menyelamatkan gawang daripada ditembusi penyerang Liverpool. FOTO AFP

Ketika ditanya mengenai City, Arteta yang pernah menjadi pembantu Pep Guardiola sehingga Disember lalu berkata: "Saya tunggu dan nikmati kemenangan dan hasilnya kami akan menentang Manchester City. Banyak lagi pasukan sukar yang tinggal dalam kejohanan ini."

Arsenal yang belum menjulang Piala Liga sejak 1993 menang tiga daripada empat aksi terakhir menentang Liverpool dalam tempoh 11 minggu.

Liverpool mengatasi Gunners 3-1 dalam aksi Liga Perdana di Anfield Isnin lalu tetapi Arsenal menang aksi liga pada Julai dan Perisai Komuniti pada Ogos.

Kemampuan Leno menunjukkan mengapa Arteta mahu terus menyimpannya dan menjual penjaga gol simpanan Emiliano Martinez ke Aston Villa dengan menyelamatkan beberapa percubaan bahaya Liverpool sebelum menjadi wira pada penentuan penalti.

"Bernd Leno sangat bagus. Apabila kami perlukannya, dia tidak mengecewakan. Anda perlu prestasi individu tertinggi untuk menang di Anfield,'' kata Arteta.

"Saya menaruh kepercayaan kepada Bernd. Saya amat mengenalinya. Kami tak mahu Emiliano Martinez pergi tapi itu mungkin betul.

"Datang ke sini dan beraksi penuh komitmen menunjukkan kami berada di jalan yang betul.''

Kemenangan Arsenal melunaskan dendam kekalahan kepada Liverpool menerusi penalti dalam saingan sama musim lalu yang menyaksikan Gunners mendahului 3-1 dan 4-2 sebelum seri 5-5.

Tidak banyak 'drama' mendebarkan sehingga penentuan penalti dengan Liverpool melakukan sembilan pertukaran dan Arteta lapan.

"Jika ada pemenang dalam 90 minit ia sepatutnya milik kami tetapi hakikatnya anda perlu menjaringkan gol,'' kata Klopp.

"Penalti memang rumit, semua orang tahu.''

Perlawanan lain pusingan keempat menyaksikan Stoke mengejutkan Aston Villa 1-0 manakala Brentford kali pertama mara ke saingan lapan terakhir dengan menewaskan Fulham 3-0.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2020 @ 7:36 AM