TYSON berang diserbu peminat yang mahu mendapatkan tandatangannya.  FOTO Agensi
TYSON berang diserbu peminat yang mahu mendapatkan tandatangannya. FOTO Agensi
Agensi

MIKE Tyson mendakwa dia membayar £6.2 juta (RM33 juta) kepada peminat selepas mematahkan rahang mereka yang berebut-rebut mahu mendapatkan tandatangan autograf.

Legenda tinju Amerika Syarikat yang berusia 54 tahun itu terkenal dengan sikap panas baran dan sering memukul lawan dengan ganas.

Iron Mike juga kerap bergaduh ketika zaman kanak-kanaknya dan berterusan sehingga dewasa. Dia bertumbuk dengan Mitch Green di atas jalan selepas dua tahun mengalahkannya di dalam gelanggang.

Tyson berkata kepada portal Hotboxin, dia sering menumbuk peminat yang hanya mahukan tandatangannya tetapi dia kemudiannya memberi mereka wang.

Iron Mike berkata: "Saya adalah lelaki itu, gila, memukul orang kerana mereka berebut-rebut dan tak sabar mahu menandatangani autograf.

"Saya tumbuk mereka sehingga ada yang patah rahang tetapi selepas itu saya menandatangani cek dan itu melemahkan semangat saya.

"Mereka mendapat £3.1 juta (RM16 juta), £6.2 juta (RM33 juta) tetapi saya tak kenal mereka, siapakah mereka?''

Petinju yang memiliki rekod perlawanan 50-6-2 itu mendedahkan dia memberi penceroboh £200,000 (RM1 juta) selepas harimau Bengal peliharaannya menggigit tangan penceroboh itu.

Bekas raja heavyweight itu memelihara 'kucing besar' sebagai haiwan peliharaan di rumahnya tetapi tidak kekal lama selepas berlaku insiden tidak diduga.

Tyson sering menjadi tajuk utama akhbar ketika kariernya yang penuh kontroversi dan mendapat gelaran The Baddest Man On The Planet.

Dia menjadi juara dunia ketika berusia 20 tahun yang juga catatan rekod juara termuda heavyweight.

Ketika di zaman kemuncak pada 1992, Tyson didapati bersalah merogol Desiree Washington dan dijatuhkan hukuman penjara enam tahun.

Dia turut didakwa atas kesalahan menyerang dalam tiga insiden berasingan membabitkan jenayah seksual.

Tyson yang terkenal dengan insiden menggigit telinga Evander Holyfield dalam pertarungan 1997 bertanding dalam kategori heavyweight di antara 1985 sehingga 2005 tetapi mengumumkan kehadirannya semula awal tahun ini.

Dia dijangka menentang Roy Jones Jr dalam pertarungan pertunjukan pada 28 November di California.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2020 @ 8:23 PM