PEMAIN JDT, La'vere Corbing Ong diasak pemain gol PJ City, Anawin Jujeen pada perlawanan Liga Super JDT menentang PJ City di Stadium MBPJ, Kelana Jaya malam tadi. FOTO AIZUDDIN SAAD
PEMAIN JDT, La'vere Corbing Ong diasak pemain gol PJ City, Anawin Jujeen pada perlawanan Liga Super JDT menentang PJ City di Stadium MBPJ, Kelana Jaya malam tadi. FOTO AIZUDDIN SAAD
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Serangan pantas membabitkan empat hingga lima pemain Petaling Jaya City (PJ City) nyata cukup berbahaya dan ia diakui pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora.

Jelas Mora, keputusan seri 2-2 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya itu dianggap 'adil' buat kedua-dua pasukan apabila masing-masing memperagakan aksi bertenaga sepanjang perlawanan.

Katanya, PJ City lawan yang cukup liat namun pemainnya berjaya mengimbangi saingan sengit ruan rumah untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata ke selatan tanah air.

"Untuk aksi malam ini (kelmarin), pemain saya mengawal permainan dengan lebih banyak mencipta peluang tetapi kami ada masalah berdepan serangan balas PJ City.

"Namun pada separuh masa kedua kami tampil lebih baik di mana pemain mengawal aksi dan berjaya memastikan tidak dibolosi pada babak kedua," katanya.

Pada aksi itu, skuad Harimau Selatan hampir menerima kekalahan pertama mereka musim ini selepas ketinggalan sebelum berakhirnya aksi 45 minit babak pertama.

Pelawat yang memburu kejuaraan liga ketujuh berturut-turut terlebih dulu di depan menerusi jaringan Safawi Rasid pada minit ke-35 selepas menerima hantaran Diogo untuk tenang menewaskan Kalamullah Al-Hafiz.

Kelebihan itu bagaimanapun dipadamkan oleh tuan rumah dua minit kemudian hasil sentuhan bekas pemain kebangsaan, Christie Jayaseelan yang menolak mudah ke gawang JDT untuk mengikat kedudukan 1-1.

Skuad kendalian K Devan berjaya mendahului lawan pada masa kecederaan susulan sepakan penalti yang dihadiahkan oleh pengadil Muhammad Nazmi Nasaruddin selepas Washington dos Santos dijatuhkan oleh penjaga gol JDT, Farizal Marlias dan K Gurusamy mudah menyempurnakan tugasnya.

Namun semangat melawan anak buah Mora cukup tinggi apabila mereka pantas mengikat kembali 2-2, juga hasil sepakan penalti Gonzalo Cabrera di masa kecederaan.Sementara itu Devan memuji sikap dan komitmen pemainnya yang berjaya menyukarkan JDT.

"Saya cukup bangga dengan pasukan saya, pemain-pemain saya menunjukkan kualiti bola sepak yang berbeza menentang pasukan terbaik di Malaysia.

"Ia bukan perlawanan yang dikuasai satu pasukan, kita mengimbangi permainan, bertahan dengan baik dalam masa sama turut melakukan serangan dan berjaya menjaringkan dua gol.

"Kredit kepada pemain saya, mereka bermain mengikut perancangan pasukan dan kita meraih satu mata yang cukup berharga," kata Devan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2020 @ 4:31 PM