BARISAN kesebelasan utama Malaysia ketika perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 diantara Malaysia menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil dua tahun lalu. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
BARISAN kesebelasan utama Malaysia ketika perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 diantara Malaysia menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil dua tahun lalu. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Saingan Piala AFF musim depan bakal dilangsungkan pada bulan puasa sekaligus menuntut komitmen tinggi pemain Harimau Malaya dalam kejohanan serantau itu.

Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) hari ini, saingan berkenaan dijadualkan dari 11 April hingga 8 Mei dengan format pertandingan masih dikekalkan.

Seperti saingan sebelum ini, semua pasukan perlu beraksi di tempat lawan dan juga laman sendiri sepanjang kejohanan itu, sebelum beraksi secara timbal balik di separuh akhir dan final.

Menurut Presiden AFF, Major General Khiev Sameth, pihaknya gembira apabila ahli gabungan AFF berjaya mencapai persetujuan berkenaan tarikh kejohanan selepas ditangguhkan ekoran Covid-19.

Sebelum ini, Piala AFF yang sepatutnya berlangsung pada hujung tahun ini ditangguhkan susulan ancaman pandemik itu.

"Kami gembira para ahli memberikan sokongan serta kejasama penuh sekaligus berjaya mendapatkan tarikh akhir bagi melangsungkan kejohanan terbabit," katanya.

Terdahulu Arena Metro melaporkan kemungkinan Piala AFF diadakan pada pertengahan bulan April tahun depan atau lebih tepat pada bulan Ramadan.

Berdasarkan kalender Islam, bulan Ramadan akan jatuh pada 13 April dan ini bermakna saingan AFF akan dilansungkan dua hari sebelum bermulanya ibadat puasa.

Dalam laporan sama, pengendali negara, Tan Cheng Hoe menggesa supaya anak buahnya bersiap sedia seandainya benar saingan 'Piala Dunia Serantau' itu dilangsungkan pada bulan Ramadan.

"Setakat sekarang kita tak terima apa-apa berita lagi, jadi kita hanya tunggu dan lihat.

"Kalau terpaksa main dalam bulan terbabit, kita kena ikut juga. Selebihnya saya tak mahu komen lagi, tunggu sehingga AFF umumkan," katanya sebelum ini.

Dengan pengumuman rasmi AFF itu, pemain Harimau Malaya bakal berdepan ujian getir memandangkan lawan seperti Thailand, Vietnam, Filipina, Myanmar dan lain-lain yang bukan beragama Islam pastinya mempunyai kelebihan berbanding negara Islam yang perlu berpuasa di siang hari.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2020 @ 8:14 PM