Flick (kiri) akur bakal hilang pemain berbakat. FOTO File Agensi
Flick (kiri) akur bakal hilang pemain berbakat. FOTO File Agensi
AFP

THIAGO Alcantara berkata persetujuannya untuk meninggalkan juara Liga Juara-Juara, Bayern Munich untuk menyertai juara Inggeris, Liverpool adalah antara keputusan yang sukar dilakukan dalam kariernya.

Thiago dilaporkan akan menjalani ujian kesihatan sebelum pengesahan perpindahan ke Liverpool yang dilaporkan sekitar £20 juta (RM107 juta) dengan tambahan £5 juta (RM26 juta) membabitkan perkara-perkara lain.

Pemain kebangsaan Sepanyol berusia 29 tahun itu dipercayai bersetuju mengikat kontrak perjanjian selama empat tahun di Liverpool.

Dia menyertai Bayern sejak 2013 tetapi mempunyai baki setahun kontrak lagi bersama gergasi Jerman itu yang tidak berdepan masalah untuk menyambung khidmatnya.

Thiago gembira mengecapi pelbagai trofi di Jerman dan antara pemain berpengaruh dalam skuad Bayern ketika membantu kemenangan pasukan itu pada final Liga Juara-Juara ke atas Paris Saint Germain bulan lalu.

"Saya mengambil keputusan yang sangat sukar dalam karier bola sepak profesional saya." catat Thiago di Twitter.

"Saya akan menutup babak bersama kelab hebat ini di mana saya bertambah matang sebagai pemain selama tujuh tahun. Selain menempuhi kecemerlangan, kegembiraan dan juga tempoh sukar.

"Namun apa yang saya sangat banggakan bahawa saya tiba di Munich sebagai pemain muda yang mencapai impian dan memenuhi segalanya di sebuah kelab, merakam sejarah dan mencetus budaya di sini."

Selain memenangi Liga Juara-Juara, Thiago mengecapi tujuh kejuaraan Bundesliga, empat Piala Jerman dan Piala Dunia Kelab ketika bersama Bayern.

Bos Bayern, Hansi Flick mengucapkan selamat maju jaya kepada Thiago.

"Klopp (pengurus Liverpool) bakal mendapat pemain utama dan individu yang hebat. Suasana sangat beremosi hari ini apabila dia mengucapkan selamat tinggal." kata Flick.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2020 @ 10:37 PM