RAMADHAN (nombor 17) menyerlah ketika menentang Pahang.
RAMADHAN (nombor 17) menyerlah ketika menentang Pahang.
Rizar Mohd Noor


KETAJAMAN barisan serangan Johor Darul Ta'zim (JDT) menjadi taruhan bagi memastikan kemenangan mampu digapai tatkala melayani kunjungan Perak pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.

Kemenangan 3-2 skuad Harimau Selatan ke atas Pahang pada 28 Ogos lalu memberi suntikan moral yang mampu meningkatkan lagi corak permainan ampuh tatkala pengendali pasukan itu, Benjamin Mora mengakui beberapa kesilapan dilakukan menyaksikan juara liga enam musim berturut-turut dihukum akibat corak permainan tidak konsisten.

Kemungkinan pengendali kelahiran Mexico itu bakal menurunkan Diogo Luis Santo, Gonzalo Cabrera dan kelibat Ramadhan Saifullah yang menyerlah pada aksi menentang Pahang bakal berada dalam kesebelasan utama atau Safawi Rasid akan kembali diturunkan.

Mora berkata pada aksi menentang skuad kendalian Dollah Salleh, barisan serangan mampu mencipta sekurang-kurangnya lima atau enam jaringan untuk menamatkan perlawanan dengan keputusan 5-2 atau 6-2 namun ia tidak berlaku sebaliknya berpuas hati dengan kemenangan 3-2.

"Untuk pastikan situasi ketika menentang Pahang tidak berulang, kami harus lebih fokus untuk tempoh 90 minit perlawanan dan tidak melakukan kesilapan mudah yang membolehkan pasukan lawan mengambiil kesempatan," kata Mora.

Persoalannya, apakah Mora akan mempertaruhkan pemain muda, Ramadhan Saifullah yang menjaringkan gol ketika menentang skuad Tok Gajah atau kembali menyenaraikan Safawi bagi menguatkan posisi sayap kanan.

Apapun, tindakan berani Mora yang mempertaruhkan Ramadhan dalam kesebelasan utama harus dipuji sekali gus mengetepikan dakwaan betapa skuad Harimau Selatan memiliki 11 pemain utama dan kurang berminat menurunkan pemain muda.

Di sebalik keghairahan JDT yang memburu kemenangan dalam usaha mengekalkan kedudukan teratas liga elit domestik, barisan pemain Harimau Selatan harus berhati-hati akan kebangkitan skuad bimbingan Mehmet Durakovic yang berhasrat menebus kekecewaan selepas tewas 0-1 kepada Melaka United, 28 Ogos lalu.

Walaupun beraksi tanpa penyokong namun ada perancangan daripada pihak pengurusan kelab itu dengan mewujudkan suasana sorakan Boy Of Straits menerusi sistem pembesar suara yang dipasang di stadium bagi menyemarakkan semangat pemain mengutip tiga mata sekali gus kekal di persada liga.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2020 @ 9:49 PM