Safawi Rasid. FOTO File NSTP
Safawi Rasid. FOTO File NSTP
Syazwan Msar


KEHADIRAN penyerang sensasi Johor Darul Ta'zim (JDT) Safawi Rasid bagai dinantikan warga Portimonense yang berpangkalan di Portugal apabila perkara terbabit turut mendapat perhatian akhbar di negara berkenaan iaitu O Jogo di Porto.

Menerusi laporan berita berkenaan, pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu diikat selama semusim dengan pilihan melanjutkan kontraknya setahun lagi dengan yuran yang tidak dinyatakan.

Kelab terbabit menyatakan, mereka sudah mengikuti perkembangan Safawi sejak enam bulan lalu sebelum memutuskan untuk mengikat pemain berkenaan.

Malah, mereka juga begitu kagum dengan profil Safawi yang dianggap sebagai pemain muda berbakat besar dan terbaik Malaysia sekali gus mengambil langkah drastik membawanya beraksi bersama kelab itu.

Safawi tarik minat Media Portugal.
Safawi tarik minat Media Portugal.

Kedatangan Safawi sudah tentu adalah antara perkara yang dinantikan kelab berkenaan dan tidak sabar untuk melihat Safawi dapat menyesuaikan diri seterusnya beraksi bersama pemain lain.

Perjanjian itu dimeterai semalam hasil hubungan baik Theodoro Fonseca dengan pemilik JDT, iaitu Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Selain itu, Pengurus kelab berkenaan, Paulo Sergio, turut menunjukkan minat untuk memiliki sekurang-kurangnya seorang lagi pemain sayap.

Sebelum itu, menerusi kenyataan Pengarah Sukan Kelab Bolasepak JDT Martin Prest di laman Johor Southern Tiger (JST) memaklumkan bahawa pihaknya bersedia melepaskan Safawi untuk meneruskan kariernya di Eropah.

Safawi juga mendapat 'lampu hijau' daripada majikannya yang juga pemilik kelab untuk melebarkan sayap beraksi bersama kelab di wilayah Algarveh, Portugal itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2020 @ 9:51 AM