PEI Jing (kanan) dan Kian Meng berjaya menewaskan Peng Soon-Liu Ying. FOTO Ihsan BAM
PEI Jing (kanan) dan Kian Meng berjaya menewaskan Peng Soon-Liu Ying. FOTO Ihsan BAM
Aida Adilah Mat


PASANGAN beregu campuran negara Tan Kian Meng-Lai Pei Jing mempamerkan rentak konsisten untuk dinobatkan sebagai juara acara beregu campuran saingan Divisyen 1 Kejohanan Jemputan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Kian Meng-Pei Jing yang kini menghuni ranking ke-11 dunia menundukkan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying 21-10, 22-22 dalam aksi yang memakan masa 36 minit.

Beregu nombor dua negara itu bagaimanapun dipaksa bekerja keras di set kedua apabila ketinggalan enam mata namun bangkit mengejar untuk menyamakan kedudukan 20 sama sebelum menang 22-20.

Kata Pei Jing, biarpun ia hanya membabitkan persaingan dalaman antara sesama rakan pasukan namun perasaan muncul juara itu adalah sesuatu yang amat bermakna selepas sekian lama tidak menyertai sebarang pertandingan kerana wabak Covid-19.

"Saya memang tak fikir banyak menang atau kalah mesti fokus kepada permainan kerana bagi saya, kalau kita bermain dengan baik pasti akan menang.

"Saya cakap dekat Kian Meng untuk terus fokus kepada permainan kerana 'feeling' latihan dan pertandingan itu tidak sama," katanya.

Sementara itu bagi Kian Meng, kejayaan menewaskan beregu campuran terbaik negara itu memberinya satu perasaan yang sukar untuk digambarkan.

"Sudah lama tak ada kejohanan. Sejak daripada awal pertandingan ini memang saya rasa 'enjoy'.

"Lepas memang kejohanan ini memang ia dapat membantu kembalikan keyakinan kami selepas ini biarpun peluang untuk ke Olimpik itu tipis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Ogos 2020 @ 9:30 PM