WILLIAN sah sertai Arsenal. FOTO Agensi
WILLIAN sah sertai Arsenal. FOTO Agensi
Agensi

ARSENAL mengumumkan menandatangani bekas sayap kelab Chelsea, Willian secara percuma dan pemain itu bakal menerima gaji sebanyak £220,000 (RM1.2 juta) di Stadium Emirates.

Pemain berusia 32 tahun itu diumumkan secara rasmi menerusi laman Twitter pasukan itu hari ini selepas menandatangani kontrak selama tiga tahun dan akan menyarung jersi nombor 12.

Namun, gaji lumayan yang diterima pemain Brazil itu menimbulkan persoalan terutama selepas pasukan itu melepaskan 55 kakitangan atas alasan pertindihan tugas pada bulan ini.

Walaupun gaji asas Willian lebih rendah berbanding apa yang diterimanya di Chelsea namun dengan bonus, yuran tandatangan dan bonus kesetiaan selama tiga tahun, ia membabitkan jumlah £220,000 untuk gaji seminggu dan £35 juta (RM192 juta) untuk keseluruhan kontrak.

Willian mendedahkan perbualannya bersama pengurus, Mikel Arteta meyakinkan dia untuk menyertai pasukan itu.

"Saya suka cara mereka bermain dan dengan Arteta, Arsenal ada peluang untuk mencabar semula kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Eropah. Jadi saya gembira kerana itu.

"Saya teruja untuk bermula dan tidak sabar untuk beraksi serta membantu pasukan ini. Itu yang saya mahu lakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2020 @ 10:21 PM